Kenanga Investment Bank lancar Waran Indeks Hang Seng  | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment Bank lancar Waran Indeks Hang Seng 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Waran berstruktur Indeks Hang Seng (HSI), iaitu HSI-CIW dan HSI-HMO, yang dikeluarkan oleh Kenanga Investment Bank kini disenaraikan di FBMKLCI. 

 

Pelancaran ini menandakan aktiviti pertama Kenanga dalam penawaran pendedahan ke pasaran Asia Timur kepada pelabur melalui waran berstruktur di Pasaran Utama.

 

HSI ialah penunjuk prestasi terunggul di Bursa Saham Hong Kong (SEHK) yang merupakan pengendali saham keempat terbesar di dunia.

 

Indeks Hang Seng menjejak prestasi kira-kira 50 saham paling besar dan cair di pasaran Hong Kong termasuk nama-nama global seperti Alibaba Group, Meituan, HSBC, Xiaomi, Tencent, Henderson dan Sino Biopharm.

 

Pelancaran ini bakal menarik minat pelabur yang mempunyai keupayaan mengambil risiko yang lebih tinggi memandangkan keadaan makroekonomi kini mewujudkan peluang perdagangan yang lebih besar di HSI.

 

Ketua Derivatif Ekuiti di Kenanga Investment Bank, Philip Lim berkata, di Nagawarrants oleh Kenanga, komitmen mereka adalah untuk menyediakan instrumen kewangan yang direka bentuk dengan teliti yang menawarkan pelbagai pendedahan kepada pelabur mengikut pilihan risiko dan pulangan. 

 

Katanya, permintaan harian yang tinggi terhadap waran semasanya juga jelas menunjukkan bahawa mereka berada pada landasan yang tepat dengan penyediaan perkhidmatan kepada pelanggan yang mengutamakan waran berkualiti dan keuntungan berbanding dengan kuantiti.

 

"Inilah sebabnya kami meluaskan terbitan waran kami untuk memasukkan waran Indeks Hang Seng. 

 

"Fokus bersepadu kami terhadap pendidikan dalam talian, alat perdagangan yang canggih, keupayaan membaca trend pasaran yang boleh dipercayai dan kecairan membolehkan pelabur membuat pelaburan yang menguntungkan serta berdasarkan maklumat" katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bersempena dengan pelancaran ini, Kenanga Investment Bank akan menganjurkan webinar Waran Indeks Hang Seng yang pertama dengan kerjasama Bursa Malaysia pada Sabtu, 7 Ogos ini.
 

Webinar tersebut akan menampilkan Azhar Mohd. Zabidi dari Bursa Malaysia, Isabelle Zhen dari Kenanga Investment Bank dan Johan J. Lee, pakar waran Indeks Hang Seng dari Hong Kong. 

 

Dalam webinar ini, para peserta akan dapat mempelajari Waran Indeks Hang Seng dan pada masa sama, berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditaja oleh Garmin Malaysia. - DagangNews.com