Kenanga Investment kekalkan unjuran KDNK 3.5%-4% | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment kekalkan unjuran KDNK 3.5%-4%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - Kenanga Investment mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2021 negara pada 3.5% hingga 4% dengan KDNK suku keempat dijangka melonjak ke paras di antara 4% ke 6%.

 

Dalam nota penyelidikannya Kenanga berkata, pertumbuhan diunjurkan melantun dengan kukuh pada suku akhir, hasil daripada kadar vaksinasi yang tinggi dan pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Selain itu, kes COVID-19 yang agak rendah, permintaan luar yang mampan dan langkah fiskal dan kewangan yang berterusan mungkin akan menjamin momentum menaik permintaan dalam negeri pada suku keempat, mengimbangi kemerosotan yang lebih besar daripada jangkaan pada suku sebelumnya.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pertumbuhan separuh kedua 2021 untuk mencatatkan antara 0.0% – 1.0%.

 

"Melangkah ke hadapan, pertumbuhan dijangka berkembang kukuh pada 2022 kepada 5.5% - 6.0%," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5% pada suku ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan 16.1% yang dicatatkan suku sebelumnya. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, penguncupan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang ketat terutamanya pada bulan Julai, di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN). Jelasnya, pada suku ketiga 2020, pertumbuhan (KDNK) Malaysia ialah pada  -2.7%.  

 

Tambah Kenanga, ekonomi dijangka kekal disokong oleh sektor perkilangan, terutamanya aktiviti dipacu eksport atas permintaan luar yang kukuh, kitaran naik teknologi yang berterusan dan penggunaan teknologi 5G, serta harga komoditi yang secara relatifnya lebih tinggi dalam keadaan pemulihan berterusan dalam kalangan rakan dagangan utama. 

 

"Selain itu, penyambungan semula pergerakan dan aktiviti perniagaan berkemungkinan akan mempercepatkan pemulihan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan. 

 

"Di samping itu, pelaburan awam akan terus meningkat disebabkan beberapa projek infrastruktur mega yang sedang dijalankan.

 

"Walau bagaimanapun, pandangan kami masih bergantung kepada beberapa faktor risiko, termasuk peningkatan berterusan dalam jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara disebabkan oleh kemunculan varian baharu dan kelonggaran SOP, potensi pengembalian sekatan pergerakan terutamanya dalam sektor sosial, keberkesanan vaksin terhadap varian COVID-19, gangguan rantaian bekalan global yang lebih lama daripada jangkaan, dan ketidaktentuan politik domestik," katanya. -DagangNews.com