Kenanga Investors-MFPC bekerjasama lancarkan program perancangan kewangan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors-MFPC bekerjasama lancarkan program perancangan kewangan

Vincent Kwo Shih Kang (kiri) dan Ismitz Matthew De Alwis memorandum kerjasama antara MFPC dan Kenanga Investors di Kuala Lumpur.

 

KUALA LUMPUR 6 April - Kenanga Investors Berhad mengumumkan kerjasama dengan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) untuk menawarkan program kelayakan profesional bagi sijil Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) dan Perancang Kewangan Syariah Berdaftar (Shariah RFP).

 

Kedua-dua program ini dijangka dapat mempertingkatkan kerelevanan perancangan kewangan dan menambah baik kerjaya pengamal kewangan; sekali gus melahirkan perancang kewangan yang cekap serta memiliki kelayakan profesional.

 

MFPC akan memantau pengurusan hal ehwal Program secara keseluruhan termasuk membangunkan dan mengemas kini kandungan program dari semasa ke semasa, memantau kualiti dan melakukan penilaian, serta menganugerahkan sijil kepada peserta program yang memenuhi kelayakan.

 

Kenanga Investors akan membantu MFPC untuk mendidik peserta tentang tanggungjawab mereka sebagai perancang kewangan, tingkah laku profesional mereka dan peraturan serta standard yang berkaitan sepanjang berlangsungnya program ini.

 

Menurut Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, “program ini bertujuan menggalakkan kefahaman yang lebih mendalam tentang pendekatan perancangan kewangan berbanding dengan pendekatan berasaskan produk, yang sememangnya menerima dukungan dan sokongan padu kami selama ini.

 

"Di Kenanga Investors, kami menganjurkan kelebihan pendekatan ini dalam struktur korporat kami dan pada masa ini, kakitangan jualan kami daripada tenaga agensi dan pasukan Kemakmuran Persendirian telah mendaftar atau sudah memiliki lesen sebagai perancang kewangan,” katanya.

 

Dengan pelancaran program ini, beliau menjangkakan tenaga jualan agensi syarikat, serta kakitangan baharu, akan memenuhi keperluan pelesenan sebelum menjadi perancang kewangan yang terlatih sepenuhnya.

 

“Matlamat tahunan kami adalah untuk memastikan tenaga kerja agensi Kenanga Investors dan Pengurus Kemakmuran Persendirian menyertai program secara sistematik mengikut kesediaan dan pengambilan yang dijadualkan. Kerjasama ini akan memastikan kami berupaya menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan yang akan menambah nilai holistik kepada perjalanan kewangan pelanggan,” ujar De Alwis.

 

Menurut Presiden MFPC Vincent Kwo Shih Kang, kerjasama strategik ini adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat baru-baru ini oleh pihak berkuasa pengawalseliaan yang berhasrat memperluas skop perancang kewangan.

 

“MFPC, bersama Kenanga Investors, memuji langkah berani yang dilaksanakan dalam industri ini, yang akan memberi pelabur satu lagi saluran untuk mendapatkan nasihat pelaburan. Kami komited terhadap usaha menyokong pertumbuhan profesion perancangan kewangan menerusi pendekatan aktif ini yang akan mendatangkan faedah yang besar kepada pelabur baharu yang semakin bertambah khususnya berikutan wujudnya minat yang lebih tinggi terhadap pelaburan dalam tempoh  pascapandemik,” kata Kwo.

 

MFPC merupakan badan bebas yang menggalakkan pembangunan dan peningkatan profesion perancangan kewangan di seluruh negara. MFPC membangunkan dan memantau Standard Amalan Terbaik dan Kod Etika yang mesti dipatuhi oleh RFP dan RFP Syariah. Badan ini didaftarkan pada 10 Mac 2004 di bawah Akta Pertubuhan 1996. - DagangNews.com