Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jan - Kenanga Research mengekalkan pandangan optimis yang berhati-hati terhadap sektor pembuatan negara biarpun ia dijangka terus pulih.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Kenanga Research berkata, ia memandangkan penularan varian Omicron COVID-19 di banyak negara ketika ini.
Namun begitu, katanya, pihaknya yakin kesannya akan menjadi kurang teruk, memandangkan populasi semasa yang diberi vaksin lebih tinggi dan kempen dos penggalak vaksin yang agresif disokong oleh fiskal yang besar dan permintaan terpendam yang dilepaskan.
"Berdasarkan latar belakang ini, kami mengekalkan ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2021 pada 3.5% - 4.0% dan terus berkembang kepada 5.5% - 6.0% pada 2022.
"Walau bagaimanapun, ramalan kami masih kekal tertakluk kepada risiko penurunan yang berkaitan dengan pembangunan varian baharu COVID-19, serta kekurangan bahan mentah dan buruh yang berterusan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit yang juga petunjuk tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 dalam bulan sebelumnya yang memaparkan peningkatan kukuh sektor terbabit.
Berikutan itu, prestasi purata bagi suku akhir berkenaan merupakan suku paling kukuh sejak tinjauan itu dimulakan pada 2012, kata IHS Markit dalam nota penyelidikannya semalam.
Menurutnya, berdasarkan kaitan antara PMI dan statistik rasmi, angka terbaharu itu menjadi petunjuk dari segi pengembangan kukuh pengeluaran pembuatan dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan tinjauan itu turut memaparkan pemulihan meluas daripada impak akibat COVID-19
“Data Disember itu menunjukkan peningkatan output bagi bulan ketiga. Tahap pengembangannya adalah sederhana namun terpantas sejak April lepas. Kalangan syarikat atau firma menyifatkan pengukuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan berikutan kelonggaran sekatan akibat pandemik tersebut. “
Pada masa sama, jualan eksport baharu telah kembali ke paras pengembangan pada Disember berikutan pengukuhan permintaan di Amerika Syarikat (AS) dan China yang turut menyumbang kepada kenaikan dalam perniagaan baharu dari luar negara,” katanya. -DagangNews.com