Kenanga positif prospek jangka pendek Hong Leong | DagangNews Skip to main content

Kenanga positif prospek jangka pendek Hong Leong

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 April - Penganalisis di Kenanga Research, Clement Chua positif terhadap prospek jangka masa pendek Hong Leong Bank Berhad (HLB). 

 

“Selepas kemas kini (dengan HLB), kami merasa yakin dengan kedudukan kumpulan dalam pasaran,” katanya dalam sebuah nota kajiannya hari ini. 

 

Chua sebelum ini mengadakan persidangan dalam talian dengan Ketua Pegawai Kewangan HLB, Malkit Singh. 

 

Menerusinya, Chua difahamkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ke atas portfolio pinjaman runcit kumpulan berjaya dikurangkan dengan urus niaga antarabangsa.

 

Dalam masa sama, Chua percaya penimbal kos kredit bank itu kekal utuh apabila HLB difahamkan telah ‘meletakkan’ peruntukan pinjaman bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 (1H21) sebagai langkah berhemat untuk mengatasi impak ketidaktentuan COVID-19. 

 

Ini menyaksikan jumlah kos kredit sebanyak 23 mata asas (bps), menurut Chua. 

 

“Pengurusan (HLB) yakin bahawa jumlah 30 bps sebelum ini dapat bertahan sehingga 4Q21 walaupun adanya PRAP (peruntukan Program Bantuan Pembayaran bernilai RM2.4 bilion), disokong oleh akaun lama lain untuk memastikan kekuatan kewangan.

 

“Berdasarkan penimbal ini, kumpulan itu mempunyai banyak ruang untuk mengatasi kemungkinan keadaan pasaran yang semakin buruk.

 

“Pengurusan kumpulan juga berhasrat untuk mengurangkan pembayaran dividen daripada kadar sebelum COVID-19 hampir 40% apabila keadaan kembali menguntungkan,” kata Chua dalam nota kajiannya hari ini.

 

Di sebalik prospek yang optimis, Chua mengekalkan penarafan ‘market perform’ ke atas saham HLB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM17.60. 

 

Katanya, pada paras harga semasa, beliau percaya semua nilai positif telah diambil kira. 

 

Dalam masa sama, dividen bank itu yang 'suram' berbanding pesaingnya, boleh memberikan sedikit insentif kepada pelabur baharu, tambah Chua. - DagangNews.com