Kenanga Research jangka Uzma menjadi antara penerima manfaat daripada peningkatan harga minyak mentah | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka Uzma menjadi antara penerima manfaat daripada peningkatan harga minyak mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - Kenanga Research menjangkakan Uzma Berhad menjadi antara penerima manfaat daripada peningkatan kitaran harga minyak mentah ketika ini.

 

Katanya, kumpulan itu berjaya menampatkan dirinya dalam pasaran khusus bagi pengeluaran dan pembekalan bahan kimia medan minyak selain mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya dengan unit kerja hidraulik (HWU) yang direka dan dipasang secara dalaman.

 

Malaysia Energy Chemical & Services (MECAS) milik Uzma berada di landasan terbaik mencapai pendapatan RM60 juta pada FY24 dan beransur-ansur kembali kepada RM100 juta setahun yang dicapai sebelum penularan wabak sebelum ini.

 

"Permintaan untuk bahan kimia medan minyak semakin pulih dan kumpulan itu menjangkakan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bertambah baik dari FY24 dan seterusnya berbanding FY23.

 

"MECAS kini menyediakan perkhidmatan kepada tiga daripada keseluruhan empat projek air dalam di Malaysia, yang membuktikan keupayaannya yang terbukti dalam menghasilkan campuran kimia yang boleh dipercayai bagi kegunaan dalam projek huluan air dalam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menjangkakan HWU mendapat permintaan tinggi pada FY24 dengan plag & abandonment (P&A) bagi 50 hingga 60 telaga (berbanding 40 pada FY23), yang menunjukkan pertumbuhan dalam perkhidmatan brownfield.

 

Katanya, kumpulan itu juga mencadangkan penggunaan teknologi pam elektrik tenggelam (ESP) bagi meningkatkan pengeluaran telaga brownfield akan dicuba di Dulang untuk Petronas.

 

Sekiranya terbukti berjaya, Uzma akan mengembangkan pasarannya bagi teknologi ESP di Malaysia sebagai penyelesaian peningkatan pengeluaran.

 

"Usaha ini adalah bagi meningkatkan pengeluaran minyak adalah perkara biasa di pasaran Amerika Syarikat (AS)," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.05 sesaham. - DagangNews.com