Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap sektor hartanah walaupun berdepan cabaran kenaikan kos | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap sektor hartanah walaupun berdepan cabaran kenaikan kos

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap sektor pembangunan hartanah kerana ia terus dibebani lebihan bekalan berbanding permintaan selain pihak bank kekal berhati-hati untuk memberi pinjaman.

 

Firma itu berkata, kemampuan orang ramai untuk membeli hartanah dilihat semakin terhakis kesan daripada kenaikan kadar faedah dan kos pembinaan yang semakin melambung tinggi.

 

"Pada masa sama hutang isi rumah juga tinggi berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, persekitaran operasi untuk pemaju hartanah kekal mencabar kesan daripada Indeks Harga Rumah (HPI) yang mendatar sejak beberapa tahun lalu meskipun berlaku kenaikan kos pembinaan dan harga tanah.

 

Antara cabaran lain ialah kelulusan pinjaman kekal rendah pada kadar 37% (sehingga 1HCY22) berbanding 43% hingga 52% antara 2011 hingga 2014 dan kadar hutang isi rumah semakin tinggi berbanding KDNK. 

 

"Kemampuan orang ramai untuk memiliki rumah semakin mengecil kesan daripada kenaikan kadar faedah dan kos pembinaan.

 

"Kos pembinaan yang tinggi juga menyumbang kepada kenaikan harga jualan sekali gus meletakkan pelancaran baharu dalam risiko," katanya.

 

Firma itu berkata, harga rumah teres terus meningkat sejak mula berlakunya pandemik COVID-19 manakala harga bagi perumahan bertingkat dan berkembar mencatatkan penurunan.

 

Mereka juga percaya bahawa pemaju hartanah lebih tertumpu kepada pembangunan kawasan perbandaran rumah bertanah kerana ia akan membantu harga jualannya lebih baik.

 

Firma itu menyukai pemaju hartanah yang memiliki aliran tunai yang kukuh seperti Eco World (outperform; TP: 83 sen) dan IOI Properties Group (outperform; TP: RM1.60). - DagangNews.com