Kenanga Research kekal pandangan 'market perform' terhadap Pos Malaysia di sebalik berdepan cabaran era digital | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal pandangan 'market perform' terhadap Pos Malaysia di sebalik berdepan cabaran era digital

Pos Malaysia kembali mencatat keuntungan sebelum cukai pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, buat kali pertama sejak 15 suku lalu. - Gambar : Facebook Pos Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Pos Malaysia Bhd. dengan harga sasaran pada 55 sen sesaham selepas ia melaporkan prestasi kewangan separuh pertama yang memenuhi jangkaan firma tersebut.

 

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, dengan kerugian bersih teras pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM35.1 juta, ia memenuhi 53% dan 38% daripada unjuran firma dan konsensus bagi anggaran kerugian setahun penuh. 

 

"Malah, kumpulan kembali mencatat keuntungan sebelum cukai buat kali pertama pada suku kedua sejak 15 suku lalu di sebalik inisiatif pemotongan kos yang dilaksanakan secara berterusan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Kerugian bersih Pos Malaysia mengecil kepada RM5.25 juta pada suku kedua berbanding kerugian bersih RM121.84 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagi tempoh enam bulan, ia merekodkan kerugian bersih sebanyak RM35.62 juta berbanding kerugian bersih RM168.63 juta yang dicatatkan tahun lalu manakala pendapatan bagi tempoh itu susut sedikit kepada RM1 bilion daripada RM1.13 bilion.

 

Pos Malaysia menyifatkan prestasi yang memberangsangkan itu disumbangkan oleh kepelbagaian pelanggan dan pendapatan serta pengurusan kos yang efektif, sekali gus menurunkan kos pengangkutan dan 
penghantaran. 

 


Baca : Strategi Pos Malaysia sejak 12 bulan lalu mula membuahkan hasil, hanya rugi RM5 juta pada suku kedua

 

Menurut Wan Mustaqim, perniagaan mel konvensional Pos Malaysia dijangka terus bergelut untuk kekal relevan dalam era digital yang menyaksikan jumlah mel menurun kepada purata 13% setahun antara tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 (FY14) hingga FY21.

 

Katanya, pakar industri meramalkan pasaran kurier, ekspres dan pembungkusan di Malaysia akan berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 9% antara 2017 dan 2027.

 

"Dalam hal ini, Pos Malaysia menghadapi saingan hebat daripada pemain baharu seperti J&T Express dan Ninja Van yang mengurangkan kadar secara agresif untuk mengembangkan bahagian pasaran masing-masing.

 

"Namun, pemain industri mungkin boleh menarik nafas lega berikutan terhentinya pengeluaran lesen kurier baharu (14 September 2020 hingga 15 September 2022) dan pengenalan rangka kerja pelesenan kurier baharu yang mungkin ditetapkan dalam pergerakan penyatuan industri," jelasnya.

 

Pada masa sama, katanya, segmen penerbangan kumpulan berada di laluan pemulihan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa. 

 

"Ini menyaksikan peningkatan pengendalian kargo dan penerbangan dengan kadar penggunaan lebih tinggi di gudang miliknya (terutamanya membabitkan pelanggan e-dagang) dan permintaan lebih baik bagi perkhidmatan pengendalian di lapangan terbang," katanya.

 

Setakat 9.37 pagi, harga saham Pos Malaysia menokok 1 sen atau 1.72% kepada 59 sen dengan 58,200 saham diniagakan. - DagangNews.com