Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jan - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'underperform' terhadap AirAsia Group Bhd. dengan harga sasaran (TP) pada 70 sen berikutan persekitaran perjalanan antarabangsa yang masih tidak menentu akibat kemunculan varian baharu.
Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon berkata, walaupun peningkatan vaksinasi di Asia Tenggara telah menaikkan harapan ke arah pemulihan perjalanan domestik, tetapi perjalanan antarabangsa mungkin kekal sangat sederhana, dengan keluk jangkitan global meningkat semula dalam tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang.
"Pada masa sama, kumpulan juga baru-baru ini menyelesaikan terbitan hak boleh dilepaskan dengan mengumpul sebanyak RM974.5 juta dan menyediakan suntikan tunai yang kukuh untuk menyokong keseluruhan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Terbitan Hak yang diumumkan 29 Disember lalu itu merupakan komponen penting dalam keseluruhan strategi pengumpulan dana kumpulan AirAsia yang menyokong operasi semula perjalanan udara merentasi ASEAN pada 2022.
Malah, pengumpulan dana terbaharu itu adalah tambahan daripada 2 tranches penempatan persendirian sebelum ini yang mengumpul sebanyak RM336 juta dan pembiayaan dijamin Danajamin sehingga RM500 juta.
Secara keseluruhan, Kenanga Research berpandangan 'neutral' terhadap sektor penerbangan meskipun ketersediaan vaksin meningkatkan keyakinan terhadap pemulihan perjalanan udara lebih cepat daripada jangkaan.
Menurut Phing Khoon, pembukaan semula ekonomi kini berdepan cabaran ekoran keluk jangkitan meningkat akibat Omicron.
"Namun begitu, kami menjangkakan perjalanan udara akan kembali pulih secara beransur-ansur mulai suku kedua 2022," jelasnya.
Dalam kalangan saham di bawah liputannya, firma itu meletakkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebagai pilihan utama bagi sektor penerbangan dengan saranan 'outperform' pada TP RM7.
"Kami menyukai MAHB kerana ia menjadi pengendali monopoli dalam lapangan terbang di negara ini. Malah, perjanjian operasi (OA) yang belum ditandatangani akan menjadi penentu kepada penilaian semula sahamnya.
"Dalam hal ini, kami percaya OA baharu yang mesra pelabur, akan mewujudkan pembangunan jangka panjang yang mampan kepada kumpulan, setelah pertumbuhan trafik penumpang di Malaysia dan Turki terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.
Pada 12 April 2019, MAHB mengumumkan kerajaan telah meluluskan lanjutan konsesi MAHB untuk mengendalikan 39 lapangan terbangan di Malaysia mulai 2034 hingga 2069. - DagangNews.com