Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan FY24 Bumi Armada sebanyak 12% didorong sumbangan lebih tinggi FPSO Sterling 5 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan FY24 Bumi Armada sebanyak 12% didorong sumbangan lebih tinggi FPSO Sterling 5

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan Bumi Armada Bhd bagi FY24 sebanyak 12% selepas mengambil kira sumbangan lebih tinggi daripada kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Sterling 5.

 

Bagaimanapun, mereka menurunkan ramalan pendapatan kumpulan bagi FY25 sebanyak 8% selepas mengambil kira kadar sewa yang lebih rendah untuk FPSO Kraken selepas 25 Mac 2025 dengan mengandaikan pengurangan 70% daripada kadar semasa kerana pilihan lanjutan masih belum dimuktamadkan.

 

"Pada Julai 2024, FPSO Sterling 5 memperoleh penerimaan akhir daripada pelanggannya dan akan mula menjana hasil pajakan penuh mulai 3QFY24 dan seterusnya.

 

"Selain itu, risiko penggearan jangka pendek kumpulan telah banyak diselesaikan selepas memperoleh pinjaman baharu sebanyak AS$400 juta, terdiri daripada kemudahan murabahah komoditi bersindiket Islam dan pinjaman bertempoh bersindiket konvensional dengan tempoh enam tahun.

 

"Ia membolehkan kumpulan itu membiayai semula sukuk murabahahnya yang telah tamat tempoh, bernilai RM1.5 bilion," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bumi Armada pada 2QFY24 meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM265.9 juta

 

Terdahulu, hasil bagi suku berkenaan melonjak 31% kepada RM578.86 juta berbanding RM441.32 juta.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), untung bersih melonjak 58% kepada RM506.5 juta daripada RM319.78 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, sebahagiannya disebabkan oleh penyelesaian kenaikan yuran operasi untuk FPSO Armada Olombendo. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, penstrukturan semula kunci kira-kiranya membuka jalan kepada kumpulan untuk melabur dalam projek baharu yang akan datang, seperti pembangunan Blue Streak CO2 JV dan Akia PSC, walaupun perbelanjaan modal untuk projek ini hanya boleh dimulakan pada 2026.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana kedudukan penggearan bersih yang lebih baik (0.4x pada 2QFY24 berbanding 1.2x pada 2QFY22) selain keterlihatan pendapatan jangka panjang daripada buku pesanan yang besar melebihi RM23 bilion.

 

"Kami menaikkan penarafan kepada 'outperform' daripada 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 60 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com