Kenanga Research ramal prospek Kelington menjanjikan dipacu peningkatan projek ketulenan ultra tinggi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal prospek Kelington menjanjikan dipacu peningkatan projek ketulenan ultra tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kenanga Research meramalkan prospek menjanjikan untuk Kelington Group Bhd dipacu peningkatan projek ketulenan ultra tinggi (UHP) yang menawarkan margin lebih menarik.

 

Katanya, kumpulan itu memperoleh kontrak gas UHP tambahan bernilai RM413 juta, kebanyakannya dari Malaysia dan Singapura, menjadikan nilai kontrak terjamin sehingga kini kepada RM977 juta setakat awal September 2024.

 

"KGB terus melihat bahagian kerja rumusan gas UHP yang lebih tinggi dalam rancangannya, membentuk kira-kira 76% daripada buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.29 bilion pada akhir 1HFY24.

 

"Buku tendernya berada pada paras RM1.66 bilion, kebanyakannya potensi pekerjaan dari Singapura, China, Jerman dan Hong Kong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, loji karbon dioksida cecair (LCO2) kumpulan dengan kapasiti gabungan 120,000 tan metrik kini beroperasi pada kapasiti sekitar 58%.

 

Katanya, kadar penggunaan dijangka meningkat berikutan pengambilan kukuh dari Loji 2, didorong peningkatan permintaan daripada negara jiran yang mengalami kekurangan LCO2 kekal berikutan penutupan loji untuk usaha penyahkarbonan.

 

Selain itu, kontrak 10 tahun bagi membekalkan hidrogen, nitrogen dan oksigen kepada gergasi semikonduktor optoelektronik di Kulim, Kedah, telah mula menyumbang pada 2QFY24 dan akan berterusan sehingga 2QFY34.

 

Kumpulan itu sebelum ini telah memberi panduan untuk hasil terkumpul kira-kira RM180 juta sepanjang tempoh itu, yang dijana melalui yuran kemudahan tetap dan jualan gas

 

"Kami menyemak naik ramalan keuntungan bersih FY24-FY25 masing-masing sebanyak 4% dan 2% selepas memasukkan keputusan suku tahunan terkini serta meningkatkan andaian pesanan baharu FY24 sebanyak RM200 juta kepada RM1.2 bilion," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.16 sesaham. - DagangNews.com