Isu rantaian bekalan global dijangka menjejaskan model margin tinggi, Proton X70 dan X50 dengan tempoh menunggu mencecah sehingga 6 bulan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Nov - Prestasi kewangan kurang memberangsangkan DRB-Hicom Bhd. pada suku ketiga menyaksikan Kenanga Research menyemak turun penarafannya kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini.
Semakan semula ini dibuat dengan Sum-of-Parts (SoP) lebih rendah pada harga sasaran RM1.80 (daripada RM2.20) terutamanya disebabkan campuran jualan Proton yang tidak menggalakkan dan penilaian keuntungan lebih rendah.
Bagi suku ketiga itu yang berakhir 30 September 2021, DRB-Hicom mencatat kerugian bersih RM179.44 juta berbanding keuntungan bersih RM47.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan turut merosot kepada RM2.12 bilion berbanding RM3.56 bilion pada suku dikaji memandangkan sekatan pergerakan pada Julai dan Ogos 2021 telah menyekat aktiviti perniagaan di seluruh kumpulan.
Untuk tempoh terkumpul 9 bulan berakhir 30 September 2021, kerugian bersih DRB-Hicom mengecil kepada RM413.89 juta berbanding RM431.86 juta sebelumnya manakala hasil susut kepada RM8.25 bilion berbanding RM8.31 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan daripada sektor automotif merosot kepada RM1.27 bilion pada suku ketiga daripada RM2.54 bilion bagi tempoh sama tahun lalu apabila aktiviti jualan terhenti di bawah perintah kawalan pergerakan.
Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, prestasi kewangan DRB-Hicom itu dilihat berada di bawah jangkaan firma dengan kerugian berterusan dalam segmen automotif berikutan campuran jualan yang tidak menggalakkan.
Oleh itu, unjuran untung bersih teras bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dipotong kepada kerugian teras sebanyak RM407 juta manakala untung bersih FY22 dikurangkan 43% kepada RM193 juta.
Katanya, pengurangan ini mencerminkan campuran jualan yang tidak menggalakkan dengan model margin lebih rendah.
"Dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan isu rantaian bekalan global akan terus menjejaskan model margin tinggi iaitu Proton X70 dan X50 dengan tempoh menunggu mencecah sehingga 6 bulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : DRB-Hicom catat kerugian bersih RM179 juta pada suku ketiga
Bagaimanapun, beliau berkata, Proton dan Honda dijangka mencatat pemulihan lebih baik sejajar dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sekatan perjalanan antara negeri dimansuhkan.
Katanya, dalam tempoh pengecualian cukai jualan ini (sehingga Jun 2022), jenama kumpulan itu dijangka meningkatkan prestasi jualan dengan menampilkan model baharu atau yang disemak semula.
"Di sebalik persekitaran mencabar, usaha transformasi Pos Malaysia secara berterusan akan meningkatkan kadar tarif yang lebih baik dan permintaan e-dagang semakin berkembang.
"Perniagaan lain dalam kumpulan akan terus menyesuaikan diri dalam persekitaran 'norma baharu' bagi memastikan kemampanan kewangan, berlatarbelakangkan perubahan tingkah laku pengguna," jelasnya.
Setakat 10.09 pagi ini, harga saham DRB-Hicom susut 5 sen atau 3.01% kepada RM1.61 dengan 569,000 saham diniagakan. - DagangNews.com