Kenanga Research semak turun pendapatan Press Metal Aluminium sehingga 21% bagi FY24-FY25 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak turun pendapatan Press Metal Aluminium sehingga 21% bagi FY24-FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kenanga Research menyemak turun pendapatan Press Metal Aluminium Holdings Bhd bagi FY24 dan FY25 sebanyak 18% serta 21% selepas insiden kebakaran berlaku di kemudahan peleburannya.

 

Firma penyelidikan itu turut mengurangkan harga sasaran (TP) sebanyak 9% kepada RM5.80 sambil mengekalkan pendirian 'overweight'.

 

Kemudahan peleburan Press Metal di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak terbakar, menjejaskan 100 pasu atau satu pertiga daripada kapasiti terpasang di Kilang 3.

 

Kumpulan itu dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan bagi memulihkan operasi yang akan mengurangkan kapasiti peleburan kumpulan sebanyak 3% pada FY24 manakala aset yang rosak dan kehilangan hasil dijangka dilindungi oleh insurans.

 

Kenanga Research berkata, kejadian kebakaran berlaku di kemudahan peleburan 3 dan mengurangkan penggunaan loji kepada 95% daripada 98% pada FY24.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kemudahan peleburan Press Metal Aluminium di Bintulu terbakar, jejas kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3%

 

Tambahan pula, firma penyeldikan itu menyemak unjuran pendapatannya untuk Press Metal untuk mengambil kira andaian harga aluminium yang lebih rendah antara AS$2,500 dan AS$2,450 bag satu tan metrik daripada AS$2,550-AS$2,650 satu tan metrik dan andaian jangka panjang kepada AS$2,200 bagi setiap tan metrik daripada AS$2,300. 

 

"Harga aluminium LME telah dilihat sangat tinggi dalam tempoh dua bulan lalu, meningkat daripada bawah AS$2,200 setan metrik pada akhir Julai hingga memuncak melebihi AS$2,500 setan metrik pada pertengahan Ogos sebelum menjejak semula kepada AS$2,300 setan metrik paras tan pada masa ini."

 

"Ini walaupun harga aluminium dijangka kekal kukuh berikutan pemulihan permintaan di China," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu berjaya melindung nilai 40% daripada harga jualan FY24 pada AS$2,600 satu tan metrik dan 35% untuk FY25 pada AS$2,650 satu tan metrik.

 

"Kami menyukai Press Metal kerana kelebihan kos strukturnya berbanding rakan setara antarabangsa memandangkan aksesnya kepada kuasa hidro kos rendah yang dijamin di bawah empat kontrak perjanjian pembelian kuasa (PPA) jangka panjang yang berakhir antara 2034 dan 2040."

 

"Ia juga mempunyai bekalan alumina terjamin yang kukuh dengan kepentingan dalam dua pelombong alumina, seperti Japan Alumina Associate (40%) dan PT Bintan (25%) yang membekalkan 80% keperluannya, serta tarikan pelaburan hijau sebagai pengeluar sumber tenaga bersih," katanya. - DagangNews.com