Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih Scientex sebanyak 13%, 4% bagi FY23 dan FY24 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak turun unjuran untung bersih Scientex sebanyak 13%, 4% bagi FY23 dan FY24

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - Kenanga Research menyemak turun unjuran untung bersih Scientex Berhad bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 13% serta 4% bagi mencerminkan kos operasi yang tinggi selain kelemahan jualan hartanah.

 

Firma itu juga menjangkakan pertumbuhan perlahan untuk segmen pembungkusan plastiknya kesan daripada tekanan terhadap industri pembungkusan plastik itu sendiri akibat ekonomi global yag perlahan.

 

"Kumpulan itu juga terkesan dengan kenaikan kos operasi.

 

"Kami kekal berhati-hati terhadap segmen pembangunan hartanah kerana sentimen pengguna yang lemah kesan daripada kenaikan kada faedah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM107.2 juta bagi 1QFY23 atau peningkatan 4.2%. 

 

BACA JUGA: Scientex rekod untung bersih RM107.2 juta bagi 1QFY23 dipacu sumbangan tinggi dalam segmen pembungkusan dan hartanah

 

Firma itu berkata, keuntungan teras 1QFY23 berada di bawah jangkaan pada hanya 20% dan 22% daripada ramalan tahun penuh dan anggaran konsensus tahun penuh.

 

Kataya, perubahan berbanding unjuran itu sebahagian besarnya datang daripada kos operasi yang lebih tinggi yang menjejaskan margin.

 

"Bagaimanapun, kami menyukai kumpulan itu kerana bahagian pasaran global industri pembungkusan plastik tempatan yang semakin berkembang disebabkan sekatan pengeluaran terutamanya di Eropah kerana kos tenaga yang tinggi selain kedudukan pasarannya sebagai pengeluar pembungkusan plastik fleksibel terbesar di rantau ini.

 

"Pertumbuhan pendapatannya didorong oleh pengembangan kilang Shah Alam dan kilang di Chemor tetapi prospek jangka pendeknya semakin lemah berikutan kelembapan ekonomi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM2.99 sesaham. - DagangNews.com