Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Nov - Kenanga Research menyemak naik penarafan Affin Bank Bhd. kepada 'market perform' berbanding 'underperform' sebelum ini berdasarkan kepada prestasi kewangannya yang mantap bagi tempoh 9 bulan.
Malah, harga sasaran (TP) Affin Bank juga disemak lebih tinggi kepada RM1.55 berbanding RM1.40 sebelum ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, bagi tempoh itu berakhir 30 September 2021, kumpulan perbankan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM320.09 juta berbanding RM239.69 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan dalam tempoh berkenaan juga meningkat kepada RM1.67 bilion daripada RM1.64 bilion.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, untung bersih Affin Bank turut melonjak kepada RM133.2 juta berbanding RM48.71 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu. Pendapatan, bagaimanapun, susut kepada RM552.49 juta daripada RM556.84 juta.
Berdasarkan kepada prestasi kewangan Affin Bank bagi tempoh berkenaan, penganalisis Kenanga Research, Clement Chua menaikan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22 masing-masing sebanyak 29% dan 17%.
Beliau turut menambah baik anggaran pertumbuhan pembiayaan FY21 dan FY22 masing-masing daripada 6% dan 2% kepada 9% dan 4% dengan andaian kos kredit yang lebih rendah untuk FY21 daripada 59 mata asas kepada 52 mata asas dan meningkatkan prestasi syarikat bersekutu.
"Namun, anggaran kami bagi FY22, masih ketinggaln daripada sasaran keuntungan sebelum cukai (PBT) yang mahu dicapai pengurusan kerana kami masih berhati-hati mengenai kekuatan pendapatan bukan faedah pada masa hadapan.
"Ini memandangkan sentimen dagangan kurang memberangsangkan yang dilihat boleh menjejaskan pengambilan produk pengurusan kekayaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut beliau, sentimen harga sahamnya akan bertambah baik secara progresif sekiranya pengurusan mampu mencapai sasaran ditetapkan pada FY22.
Kumpulan menetapkan untuk mencapai beberapa sasaran antaranya menjangkakan PBT lebih RM1 bilion.
Ini akan memanfaatkan saluran yang dipertingkatkan bagi merangsangkan perniagaan pengurusan kekayaaan dengan sumbangan insurans yang lebih baik melalui Generali (langkah pengambilalihan dijangka lengkap pada separuh pertama 2022).
Pada Jun lalu, Generali yang merupakan syarikat insurans terbesar dari Itali bercadang membeli 70% kepentingan dalam AXA Affin Life Insurance dan 53% pegangan dalam AXA Affin General Insurance.
"Selain itu, pengurusan akan memastikan margin faedah bersih (NIM) kekal terurus dengan menguasai bahagian runcit yang lebih besar menerusi platform digital.
"Dengan aliran pendapatan yang diperbesarkan, pengurusan juga berharap usahanya untuk mengekalkan kos stabil dapat diterjemahkan kepada peningkatan ketara bagi pendapatan kepada kos (CIR)," jelas beliau.
Setakat 10.03 pagi ini, harga saham Affin Bank kekal tidak berubah pada RM1.68. - DagangNews.com