KUALA LUMPUR 19 Jan - UOB KayHian melihat pelbagai bahagian pertumbuhan yang boleh meningkatkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) hasil dan keuntungan bersih teras tiga tahun bagi Coraza Integrated Technology masing-masing sebanyak 17% dan 35%.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penganalisis itu berpendapat, ia merupakan hasil daripada pendedahan portfolio strategik, pengembangan kapasiti yang agresif dan produk bermargin tinggi.
Ujarnya, kepelbagaian portfolio strategik Coraza disokong oleh aliran semikonduktor yang berkembang pesat pada 57% berbanding 37% daripada jumlah bahagian hasil 2018 telah meningkatkan margin bersihnya sebanyak 2 kali ganda daripada 6.2% pada 2018 kepada 12.5% pada September 2021.
"Kumpulan juga telah mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan pelanggan utamanya yang merupakan pemain terkemuka dalam semikonduktor, perubatan & sains hayat serta sektor elektrik & elektronik yang disenaraikan di Bursa Saham New York.
"Pelanggan-pelanngan ini semakin mengukuhkan kehadiran mereka di Malaysia pada masa ini berikutan lencongan perdagangan AS-China yang akan terus memberi manfaat kepada Coraza," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambahnya, Coraza merekodkan CAGR hasil dan keuntungan bersih dua tahun sebanyak 14% dan 32% dari 2018 dan berada di landasan untuk mencatat rekod hasil dan keuntungan tertinggi pada 2021.
Ujarnya, trend pengembangan margin juga diperhatikan berikutan sumbangan bahagian yang lebih tinggi daripada sektor semikonduktor di samping kecekapan operasi yang lebih tinggi.
"Sehingga 23 November, kumpulan itu mempunyai pesanan pembelian tertunggak sebanyak RM91.5 juta untuk dipenuhi pada tahun 2022. Kami menjangkakan CAGR hasil/keuntungan bersih teras tiga tahun sebanyak 17%/35% dari 2020 berdasarkan jumlah pesanan yang lebih baik daripada pelanggan utamanya seiring dengan pengembangan kapasiti.
"Kami mulakan dengan saranan BELI dan harga sasaran RM0.65 bagi Coraza," katanya. -DagangNews.com