Keputusan kewangan penuhi jangkaan, MIDF kekal unjuran pendapatan IOI Corp RM1.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Keputusan kewangan penuhi jangkaan, MIDF kekal unjuran pendapatan IOI Corp RM1.3 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - MIDF Research tidak membuat pelarasan kepada unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 (TK23) bagi IOI Corporation Bhd berikutan keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2022 (S1TK22) Kumpulan itu adalah selaras dengan jangkaan yang dibuat pihaknya.

 

Bagaimanapun, firma penganalisis itu berkata, pihaknya mengurangkan unjuran TK22 syarikat tersebut kepada RM1.1 bilion dengan mengambil kira pelaksanaan Cukai Makmur seperti yang dicadangkan semasa Belanjawan 2022 baru-baru ini.

 

Katanya, IOI Corp mencatatkan pendapatan sebanyak RM282.3 juta bagi S1TK22peningkatan sebanyak +12.2% tahun ke tahun berbanding RM251.5 juta pada S1TK21 dan ia berada di dalam jangkaan yang dibuat MIDF namun masih berada di bawah jangkaan konsensus.

 

"Kami menyemak semula harga sasaran kami kepada RM5.04 daripada RM5.30 dan mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham IOI Corp.

 

"Segmen huluan dijangka terus cerah kerana harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi paras RM3,000/tan metrik sekurang-kurangnya sehingga suku pertama tahun hadapan disebabkan oleh bekalan yang terhad, permintaan eksport yang lebih tinggi serta pertumbuhan perlahan dalam pengeluaran," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Namun begitu, MIDF Research berkata, pihaknya tetap bimbang dengan prestasi segmen pembuatan berasaskan sumber memandangkan sumbangan lemah daripada subsegmen oleokimia kumpulan didorong oleh harga MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi. 

 

"Bagi subsegmen lemak, kami menjangkakan prestasi syarikat bersekutunya, Bunge Loders Croklaan Group BV bertambah baik pada suku akan datang memandangkan lebih banyak pembukaan semula aktiviti ekonomi," katanya.

 

Segmen perladangan IOI Copr menyaksikan peningkatan dengan pendapatan melonjak sebanyak 78.0% tahun ke tahun  kepada RM487 juta daripada RM237.6 juta pada S1TK21).

 

Sementara itu segmen pembuatan berasaskan sumber merekodkan pendapatan yang lebih tinggi pada RM154.8 juta, meningkat sebanyak 73.1% tahun ke tahun. -DagangNews.com