Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Jan. - Pasaran saham Malaysia melonjak sedikit ketika dibuka pagi ini, namun tiada lagi didagangkan melebihi paras 1,610.
Setakat 9 pagi, indeks penanda aras itu, FBM KLCI melonjak 4.67 mata kepada 1,606.55 daripada paras yang ditutup semalam, 1,601.88.
Rakuten Trade Research menjangkakan dagangan pasaran saham di Bursa Malaysia akan tidak menentu.
Ini memandangkan rata-rata pelabur menanti langkah yang bakal diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap kadar dasar semalaman (OPR) pada mesyuarat hari ini.
“Kami percaya FBM KLCI akan kekal tidak menentu sehingga BNM mengumumkan langkah mereka ke atas OPR.
“Oleh itu, kami mengunjurkan indeks itu didagangkan antara paras 1,600 hingga 1,615 hari ini.
“Berhubung OPR, pasaran cenderung pada penurunan 25 mata asas (bps) tetapi kami tetap berpendirian tegas dengan jangkaan tiada pemotongan (OPR),” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya.
Hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di BNM akan bermesyuarat bagi menentukan untuk mengekalkan OPR pada 1.75% atau memotong lagi kadar itu.
Rata-rata firma penyelidik yang dilaporkan DagangNews.com menjangkakan BNM akan tunggu dan lihat situasi ekonomi semasa dan mengekalkan OPR setakat bulan ini.
Baca : OPR mungkin kekal - Firma penyelidik
Bagaimanapun, CGS-CIMB Research tidak menolak kemungkinan OPR diturunkan lagi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan untuk tempoh masa lebih panjang.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh negara dikenakan PKP semula kecuali Sarawak.
Dalam pada itu, di peringkat global, Wall Street melonjak semula memandangkan para pelabur meletakkan harapan terhadap satu lagi pakej rangsangan dengan perolehan syarikat yang lebih baik.
“DJI Average melonjak 116 mata untuk mencecah paras 31,000 dengan Nasdaq meningkat 200 mata untuk mencatatkan paras 13,200.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau didagangkan lebih tinggi hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com