Keputusan teruskan projek LCS 'selamatkan' 8,000 pekerja - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Keputusan teruskan projek LCS 'selamatkan' 8,000 pekerja - Ismail Sabri

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Keputusan kerajaan untuk meneruskan projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dapat menyelamatkan 8,000 orang pekerja, malah ratusan vendor dan kontraktor tempatan.

 

Ini sekali gus menyangkal dakwaan bahawa keputusan itu diambil hanya untuk menjaga kontraktor, jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

 

Kata beliau, setelah membuat kajian mendalam ke atas semua aspek, Jemaah Menteri mendapati ada lebih banyak kebaikan dan keuntungan yang akan diperolehi oleh kerajaan serta rakyat jika meneruskan projek berkenaan. 

 

“Kerajaan sudah pun membelanjakan sebanyak RM6 billion dan jika ia dihentikan, wang ini mungkin tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, malah kerajaan perlu mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk melantik kontraktor baharu. 

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

“Kesemua ini akan memakan masa yang panjang dan projek ini akan menjadi lebih lewat untuk disiapkan, dan ini boleh menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan laut negara. 

 

“Keputusan ini adalah keputusan yang bersifat menang-menang untuk kerajaan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Boustead dan vendor-vendor ekosistem pertahanan tempatan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek pembinaan LCS  yang terhenti sejak 2019 bertujuan memperkukuhkan keselamatan perairan dan mendorong industri pertahanan negara.

 

Tambah Ismail Sabri, pihak Boustead juga telah mengemukakan sebuah pelan perancangan yang teliti pada awal tahun ini untuk meneruskan Projek LCS yang mencerminkan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyiapkannya. 

 

Sehubungan itu, pihak Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasarnya untuk pihak Boustead meneruskan projek ini, jelas beliau.

 

Langkah seterusnya, kata Ismail Sabri adalah kerajaan akan memaklumkan secara rasmi kepada pihak Boustead mengenai keputusan tersebut beserta dengan pelan perlaksanaan projek. 

 

“Reka bentuk terperinci atau detailed design LCS ini sudah siap 96% dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022. Naval Group masih lagi bekerjasama dengan Boustead untuk menyiapkan projek ini,” katanya lanjut. 

 

Selepas peralihan tampuk kepimpinan di Malaysia, Ismail Sabri mendakwa projek itu hilang hala tuju selama 22 bulan dan segala kerja terhenti kerana disiasat.

 

Katanya, ini telah mencetuskan kemelut baharu iaitu peningkatan kerugian dalam korporat Boustead ekoran penangguhan kepada vendor-vendor bumiputera dan juga tenaga kerja. 

 

Kerugian sebanyak RM50 juta setiap bulan dicatatkan akibat penangguhan itu yang seterusnya memberi kesan buruk kepada tabung LTAT dan 130,000 pencarumnya, jelas beliau.

 

“Ketika Pakatan Harapan memerintah, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah memohon kelulusan ketiga-tiga ‘variation order’. Pada Februari 2018 pula, BNS telah membuat tawaran kepada kerajaan ketika itu untuk menyerap kerugian sebanyak RM400 juta supaya Projek LCS ini dapat diteruskan tapi tiada keputusan diperolehi. 

 

“Pada Januari 2019, Kementerian Pertahanan telah bersetuju dengan permohonan ketiga tiga ‘variation order’ tersebut tetapi bergantung kepada keputusan akhir oleh Kementerian Kewangan. Namun tiada sebarang kata putus daripada Kementerian Kewangan. 

 

“Kegagalan untuk mendapat kata putus mengenai ketiga-tiga ‘variation order’ ini telah menjejas teruk perkembangan kerja-kerja bahagian pembinaan kapal yang lain. Pada November 2019, OEM telah menghentikan kerjakerja pembinaan kapal kerana BNS menghadapai masalah aliran tunai,” tambah beliau. - DagangNews.com