Kerajaan ada kemampuan kewangan laksana bajet terbesar dalam sejarah negara - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan ada kemampuan kewangan laksana bajet terbesar dalam sejarah negara - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir bagi merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuantan, Pahang, pagi ini.

KUANTAN 29 Okt - Perdana Menteri menegaskan Bajet 2023 yang dibentangkan 7 Oktober lalu bukan sekadar manifesto, sebaliknya kerajaan mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan belanjawan tersebut yang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM372.3 bilion.

 

Dengan menyifatkan Bajet 2023 sebagai bajet terbesar dalam sejarah negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia mencakupi semua lapisan masyarat.

 

Katanya, bajet tersebut akan memastikan tiada sesiapa yang tercicir sama ada di ceruk desa atau di bandar, golongan B40, M40, pelajar, OKU, wanita, usahawan dan sebagainya.

 

"Segala inisiatif di bawah bajet ini dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan yang saya terajui, diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di
Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kuantan, Pahang, pagi ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan selaku Menteri Peneraju Aspirasi Keluarga Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

 

Jelajah AKM di Pahang yang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU15 yang akan berlangsung
pada 19 November ini.

 

Menurut Perdana Menteri, berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus kerajaan membolehkan negara keluar daripada kemelut dan terus memberi fokus kepada pemulihan ekonomi.

 

Katanya, prestasi ekonomi negara hari ini adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9% pada suku kedua berbanding 5% pada suku pertama 2022.

 

"Selain itu, kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada Ogos 2022 iaitu 3.7% jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6%.

 

"Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia," jelasnya. 

 

Pada masa sama, menurut beliau, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke Pahang yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia di negeri ini pada 2022. - DagangNews.com