'Kerajaan akui keresahan rakyat, kenaikan harga barang akan ditangani' - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

'Kerajaan akui keresahan rakyat, kenaikan harga barang akan ditangani' - PM Anwar

KUALA LUMPUR 29 Sept - Kerajaan mengakui wujud keresahan mendesak berkaitan kenaikan harga barangan yang memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) sedia menampung dan memberi bantuan tambahan bagi mengimbangi kesan kenaikannya.

 

"Saya sudah minta (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk) Armizan (Mohd Ali) dan (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup) Fuziah (Salleh) beri perhatian.

 

"Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berjalan. Memang ada masalah. Saya akui masalah harga barang dan keperluan.

 

"Negara sudah ada keresahan sosial yang besar kerana sekatan beras dan peningkatan cukai eksport, bawang umpamanya. Itu semua beri kesan ekonomi dan kita cuba tangani. MOF sedia tampung, beri bantuan akan diteruskan," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini, Berita Harian melaporkan.

 

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar. 

 

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan membincangkan cadangan rombakan Kabinet dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

 

Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, rombakan Kabinet bukan perkara mendesak kerana terdapat hanya satu kekosongan jawatan perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

 

"(Pertemuan dengan) Yang di-Pertuan Agong ini, saya memang (adakan) mingguan (menghadap).

 

"(Rombakan kabinet?) mungkin la, mungkin saya terfikir. Tak mendesak sangat sebab yang kosong (hanya) satu," katanya. - DagangNews.com