Kerajaan ambil langkah berani dalam pemulihan ekonomi - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Kerajaan ambil langkah berani dalam pemulihan ekonomi - Juwai IQI

Malaysia menunjukkan trend pemulihan ekonomi yang luar biasa dalam masa kurang dari 17 bulan.

KUALA LUMPUR 8 Feb - Kerajaan telah mengambil beberapa keputusan yang bijak dan berani untuk memacu ekonomi agar kembali kepada trajektori pertumbuhan, ini jelas ditunjukkan dalam prestasi perdagangan Malaysia bagi Disember 2021, yang meningkat sebanyak 5.5% daripada bulan sebelumnya.

 

Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata walaupun COVID-19 dan kelemahan ekonomi global, prospek ekonomi Malaysia kekal pada kedudukan yang kukuh yang menandakan bahawa rangka kerja dasar tersebut telah memberikan hasil ekonomi pada peringkat makro.

 

"Ia adalah pemulihan ekonomi yang luar biasa dalam masa kurang dari 17 bulan dan pada pendapat saya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta kerajaan layak mendapat kredit," katanya kepada Bernama.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), indeks nilai eksport serta import bulanan Malaysia kekal positif, kedua-duanya menokok 0.2% pada Disember 2021.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan dalam nilai unit eksport disumbangkan oleh pertambahan dalam indeks minyak dan lemak sayur-sayuran, jentera dan peralatan pengangkutan dan bahan kimia.

 

Perdagangan juga didapati sedang meningkat susulan empat dasar ekonomi utama iaitu strategi vaksinasi yang berkesan yang mencapai 98% setakat ini, pembukaan perniagaan secara berstruktur, penggabungan dasar fiskal dan kewangan yang berhemat dalam sistem ekonomi untuk meningkatkan prospek pertumbuhan serta langkah strategik Bank Negara Malaysia bagi mengekalkan kestabilan kewangan dan harga.

 

 

Shan Saeed
                                         Shan Saeed

 

 

Katanya lagi, hampir semua sekatan yang berkaitan dengan pandemik terhadap kehidupan awam, termasuk pemeriksaan status vaksinasi, telah dikurangkan, menjadikan kehidupan kembali ke tahap pra-covid.

 

"Juwai IQI terus mengekalkan pendiriannya untuk optimis secara berhati-hati dan positif mengenai ekonomi pada landskap makro.

 

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepatutnya berkelok-kelok sekitar 4.0 hingga 5.0% pada 2022 dan ringgit mengekalkan kestabilan struktur antara 3.75 dan 4.15 berbanding dolar US, kerana dolar US akan kekal tertekan dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang panik akibat kegagalan dalam mengekang inflasi harga di negara berkenaan,” katanya.

 

Asia akan menjadi kisah pertumbuhan untuk 5-10 tahun akan datang kerana corak penggunaannya adalah kukuh, kata Shan, sambil menambah peningkatan KDNK atau tahap pendapatan serta strategi vaksinasi yang berkesan sewajarnya mampu mengembalikan tenaga buruh yang produktif ke pasaran arus perdana. - DagangNews.com