Kerajaan bakal umum pelan hala tuju IR4.0 dan digital lengkap bulan ini | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bakal umum pelan hala tuju IR4.0 dan digital lengkap bulan ini

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Seiring matlamat Malaysia untuk mengangkat sektor digitalisasi dengan lebih agresif, kerajaan bakal mengumumkan pelan tindakan industri revolusi 4.0 (IR4.0) dan digital yang komprehensif dan lengkap pada minggu ketiga bulan ini.

Pelan tindakan itu merangkumi enam komponen termasuk pembangunan bakat digital, teknologi membangun, ekonomi teknologi yang dibangunkan, masyarakat dan peranan kerajaan berhubung perkara tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi salah satu komponen tersebut, kerajaan kelak mengumumkan data dan infra digital dalam masa terdekat.

 

Saifuddin Abdullah
SAIFUDDIN ABDULLAH ketika berucap pada 'Invest Malaysia 2020-Virtual Series 3', hari ini.

 

"Yakinlah bahawa apa pun rancangannya, ia akan menjadi sesuatu yang kita lakukan bersama, iaitu  kolaborasi kerajaan, swasta dan masyarakat awam,“ katanya ketika berucap pada 'Invest Malaysia 2020-Virtual Series 3', hari ini.

‘Invest Malaysia 2020-Virtual Series 3' kali ini menumpukan perbincangan mengenai IR4.0 dan pelaksanaan teknologi 5G ke dalam negara.

Mengulas mengenai projek demonstrasi 5G (5GDP), Saifuddin berkata, pihaknya telah melanjutkan tempoh projek berkenaan sehingga 31 Disember 2020.

Baca : 5G Demonstration Project carries out 71 use cases

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak penyedia perkhidmatan dan pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam 5GDP.

"Malaysia akan melabur dalam telekomunikasi generasi terkini dan teknologi lain dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi. Malaysia juga akan mempercepat penambahbaikan keterhubungan kedua-dua gentian optik dan 4G sebagai kaedah untuk memastikan pelancaran 5G akan dilakukan dengan cekap dan berkesan.

“Langkah ini memberi manfaat kepada pengguna tanpa kenaikan kos perkhidmatan yang ketara; industri akan dapat melancarkan penyelesaian masing-masing dengan menggunakan 5G; dan penggunaan rangkaian pelaburan yang cepat untuk penyedia perkhidmatan,” tambah beliau. – DagangNews.com