KUALA LUMPUR 18 Sept - Sebanyak RM1.389 bilion telah diperuntukkan bagi pembelian kelengkapan dan aset baharu Tentera Darat (TD) sebagai sebahagian daripada proses pemodenan ketumbukan tersebut.
Ia meliputi persenjataan, mobiliti dan sistem komunikasi yang telah dan akan diterima oleh angkatan itu secara berperingkat-peringkat.
Perolehan ini adalah bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan pertahanan daratan dalam mendokong inspirasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sebuah angkatan yang kredibel.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perolehan sebanyak RM961 juta dibuat bagi meningkatkan keupayaan persenjataan infantri dan kuasa tembakan artileri.
Menurut beliau, antara senjata yang dalam proses penerimaan adalah mesingan berat (HMG) kaliber 12.7mm (milimeter), submesingan, alat penyenyap tembakan, senjata penembak tepat dan pelancar grened berganda 40mm.
"Selain itu ialah mortar 81mm bersama sistem kawalan tembakan dan meriam mudah gerak 155mm (Self Propelled Howitzer-SPH).
"Persenjataan ini telah diterima oleh TD secara berperingkat-peringkat pada tahun ini manakala perolehan meriam 155mm SPH masih pada peringkat proses perolehan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada wawancara khas sempena sambutan Hari ATM ke-89 di Wisma Perwira ATM di sini baru-baru ini.
Bagi keperluan mobiliti, TD telah memperuntukkan RM279 juta untuk membolehkan atur gerak pertahanan daratan di kedua-dua wilayah (Malaysia timur dan barat) dalam pelaksanaan gerakan dan latihan.
Antara perolehan yang sedang dilaksanakan adalah trak 3 tan dan 5 tan GS cargo, trak 1 tan FFR cargo, motosikal scrambler dan Tactical Mobility Support Sytem (TMSS).
Turut diperoleh ialah kenderaan penarik meriam, kembalik, Aviation Forward Repair Team (AFRT), Track Excavator, Logistic Bridge dan bot serangan.
Jelas Affendi, secara keseluruhan aset mobiliti ini telah diterima secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2025.
Katanya, TD juga memerlukan komunikasi yang terbaik bagi menyalurkan dan menyampaikan maklumat semasa tugasan.
"Sejumlah RM149 juta telah dibelanjakan bagi meningkatkan keupayaan komunikasi ke tahap yang terbaik.
"Antara peralatan komunikasi yang sedang dilaksanakan adalah Multi Channel Radio System (MCRS) dan Command Center Platform," ujar beliau.
Mengulas lanjut kata Affendi, TD ketika ini telah mensasarkan pemodenan dengan perolehan yang dibuat melalui Rancangan Malaysia Ke-12.
Jelasnya lagi, hala tuju permodenan TD adalah berlandaskan kepada Kertas Putih Pertahanan, Pelan Strategik Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) dan Army 4NextG dengan sasaran yang ditetapkan.
"Antaranya mengimbangi keupayaan TD untuk beroperasi secara serentak di kedua-dua wilayah.
"Manakala penekanan khusus pula untuk meningkatkan kesiagaan TD merangkumi elemen komunikasi, logistik, mobiliti dan kuasa tembakan," ujarnya. - DagangNews.com