Kerajaan belanja RM64.96 bilion peruntukan pembangunan - EAC | DagangNews Skip to main content

Kerajaan belanja RM64.96 bilion peruntukan pembangunan - EAC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Malaysia telah membelanjakan 80.62% daripada peruntukan pembangunan kerajaan persekutuan untuk tahun 2020 yang berjumlah RM64.96 billion setakat 8 November 2020.

Prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan tahun 2020 juga adalah lebih tinggi berbanding 2019 berikutan pelaksanaan projek rangsangan ekonomi dan beberapa langkah lain yang telah diambil bagi mempercepatkan perbelanjaan pembangunan serta pelaksanaan projek-projek berskala kecil di bawah pakej rangsangan. 

Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) menyedari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) yang berterusan di beberapa buah negeri dan wilayah telah mempengaruhi kegiatan ekonomi. 

Oleh itu, perbelanjaan pembangunan kerajaan harus memberi keutamaan kepada pelaburan yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan nilai faedah terbaik bagi menyokong pemulihan ekonomi, jelas EAC. 

“Untuk itu, tatacara perolehan sedia ada perlu disemak kesesuaiannya dalam tempoh sukar ini bagi membolehkan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi untuk kepentingan awam berjalan mengikut jadual, sekali gus mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

“Dalam tempoh yang mencabar ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa strategi pembangunan negara dan usaha merancakkan aktiviti ekonomi domestik perlu disusun semula, bagi memastikan pelaksanaan projek berimpak tinggi dapat disegerakan,” kata EAC dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, EAC yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bermesyuarat secara sidang video dan telah mendengar pembentangan mengenai “Prestasi Perbelanjaan Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan 2020” oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

EAC mengambil maklum bahawa pandemik COVID-19 telah mengakibatkan perbelanjaan isi rumah, pelaburan pihak swasta dan perdagangan antarabangsa merosot dengan drastik dan perkara itu telah memberikan impak yang amat besar kepada ekonomi negara. 

Dalam menangani situasi berkenaan, EAC berpendapat adalah amat penting untuk perbelanjaan kerajaan ditingkatkan dan projek-projek dilaksanakan dengan segera bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

“Mesyuarat turut mengambil maklum kepentingan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan awam yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar kepada ekonomi. Justeru, semua kementerian telah diminta agar memulakan pelan perolehan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 secepat mungkin bagi memastikan projek dapat dilaksanakan segera,” tambah EAC.

Sebelum ini, satu Jawatankuasa Pemudahcara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali diwujudkan bagi memantau pelaksanaan projek pembangunan dan membantu memudahkan proses-proses yang terbabit pada pertengahan Julai tahun ini.

EAC berkata, beberapa keputusan penting telah diambil oleh jawatankuasa berkenaan antaranya memastikan semua jabatan atau agensi kerajaan bertindak sebagai ‘enabler’ dan peraturan sedia ada tidak melambatkan proses kerja.

Selain itu, penyelesaian projek dijadikan KPI bagi semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan. 

“Pelaburan syarikat awam bukan kewangan (NFPC) juga adalah penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya apabila pelaburan swasta tidak memberangsangkan pada masa ini. Sumbangan NFPC kepada jumlah pelaburan sektor awam telah semakin berkurang semenjak tahun 2017,” jelas EAC. - DagangNews.com