Kerajaan bersetuju pendekatan baharu pembasmian miskin tegar secara holistik - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bersetuju pendekatan baharu pembasmian miskin tegar secara holistik - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Kerajaan menerima dan bersetuju dengan pendekatan baharu pembasmian miskin tegar secara holistik yang diterajui bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ia melibatkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO). 

 

Beliau berkata, prohram itu akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti dan mengambil kira pelbagai dimensi termasuklah aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan. 

 

"Sebanyak 50 lokaliti dipilih bagi pelaksanaan dalam fasa 1 bermula awal tahun 2022. Dalam memilih lokaliti tersebut tumpuan akan diberikan di negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi.

 

"Program itu juga akan dilaksanakan di bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik. 

 

"Mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar ini akan diadakan dengan kerap. Ini bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) kali pertama hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu diadakan bagi memastikan strategi dan inisiatif-inisiatif yang ditetapkan dilaksanakan mengikut perancangan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam rancangan Malaysia lima tahun (RMLT) ini. 

 

Beliau berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 ini akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama dan sembilan pemacu terpilih RMLT ini. 

 

"Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 akan memantau secara khusus 20 perkara utama antaranya ialah prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan, membasmi kemiskinan tegar, menambah baik ekosistem TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan Transformasi perkhidmatan awam," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu juga mengambil maklum mengenai Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas 2021 termasuklah isu-isu yang berkaitan serta keperluan kewangan pada tahun seterusnya. 

 

Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan RMK-12, Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) telah diedarkan kepada semua Kementerian dan agensi bermula pada 23 November 2021. 

 

Beliau memberitahu, prestasi pencapaian PPD, RMLT ini akan dipantau dengan menggunakanSistem Pemantauan RMKe-12 bermula awal tahun 2022. - DagangNews.com