Kerajaan digesa perkenalkan segera peraturan khusus mengenai penggunaan Vape | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa perkenalkan segera peraturan khusus mengenai penggunaan Vape

 

KUALA LUMPUR 12 Mei 2021 – Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menggesa kerajaan supaya memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia industri vape dengan segera, bukan sahaja untuk meraih manfaat ekonomi, tetapi juga untuk membuka laluan bagi membantu perokok berhenti merokok dengan vape.

 

Gesaan ini dibuat berikutan inisiatif dalam talian anjuran badan industri tersebut, yang memaparkan kisah-kisah rakyat Malaysia yang telah berhenti merokok rokok tembakau dengan bantuan vape.

 

Ashraf Rozali, Ketua Penerangan DPVM, berkata, pihaknya kini ada bukti bahawa hakikatnya banyak perokok di Malaysia menggunakan vape untuk berhenti merokok.

 

"Inisiatif perkongsian ilmu kami baru-baru ini, yang menarik minat pengguna vape tempatan, menunjukkan penggunaan vape berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Terdahulu, keputusan daripada inisiatif ini adalah sejajar dengan kajian global ke atas vape yang membuktikan vape adalah kurang mudarat berbanding rokok dan berkesan dalam membantu perokok untuk berhenti merokok.

vao
                                               ASHRAF ROZALI

 

Penilaian semula yang dikemas kini oleh Public Health of England, badan kesihatan awam utama UK, mendapati bahawa produk vape nikotin adalah 95% kurang mudarat berbanding rokok dan penggunaan vape ialah kaedah bantuan berhenti merokok yang paling popular di England pada 2020 – digunakan oleh 27.2% orang, berbanding 15.5% yang menggunakan terapi penggantian nikotin tanpa preskripsi dan 4.4% yang menggunakan varenicline (ubat preksripsi untuk merawat ketagihan nikotin).

 

“Di samping itu, Kerajaan New Zealand baru-baru ini melancarkan kempen Vape to QuitStrong (Vape untuk Berhenti) pada bulan Mac untuk mengurangkan bahaya yang disebabkan oleh rokok tembakau dan selaras dengan kenyataan pendirian Kementerian Kesihatan New Zealand tentang penggunaan vape.”

 

Kementerian Kesihatan New Zealand telah menyatakan matlamat mengurangkan mudarat besar yang timbul daripada penggunaan rokok tembakau dan kempen ini disokong dan sejajar dengan pendiriannya tentang penggunaan vape dan peranannya dalam usaha mencapai sasaran Smokefree 2025 (Bebas Rokok 2025).

 

“Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menerima bukti semakin kukuh yang menunjukkan bahawa vape ialah cara yang berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok dan mengurangkan risiko kesihatan dengan ketara.

 

"Mengurangkan kadar merokok ialah isu kesihatan awam penting dan kerajaan perlu mengambil kira peranan yang boleh dimainkan oleh vape untuk mencapai matlamat ini, sebagaimana kerajaan UK dan New Zealand telah menggunakan vape sebagai strategi untuk mengurangkan kemudaratan tembakau,” kata Ashraf.

 

Sebelum ini, DPVM juga menerbitkan satu kajian yang melaporkan industri vape di Malaysia bernilai RM2.27 bilion dan mempunyai ekosistem yang meliputi 3,300 pengeluar, pengimport dan peruncit, dan rangkaian pengedaran dan logistik yang semakin berkembang.

 

“Kita tahu bahawa industri ini kini semakin berkembang. Dengan pelaksanaan peraturan komprehensif yang sewajarnya, pakar-pakar ekonomi tempatan meramalkan bahawa nilai pasaran vape akan meningkat kepada RM10 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan peraturan akan membolehkan lebih banyak perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape,” katanya.

 

Mengulas kes tindakan sepasang suami isteri yang telah memberikan anak mereka dipercayai berusia dua tahun, menggunakan vape baru-baru ini, DPVM berkata tindakan tersebut tidak bertanggungjawab dan peraturan diperlukan untuk membendung insiden seperti ini berlaku.

 

“Peraturan berkenaan penggunaan vape mesti diperkenalkan supaya dapat membendung perkara seperti ini berlaku. Pendidikan juga diperlukan supaya pengguna tidak menyalahgunakan produk tersebut dengan membenarkan produk tersebut digunakan oleh mereka yang di bawah umur,” kata beliau. - DagangNews.com