Kerajaan disaran tingkatkan akses geran, moratorium bersasar atasi masalah aliran tunai usahawan - MPN | DagangNews Skip to main content

Kerajaan disaran tingkatkan akses geran, moratorium bersasar atasi masalah aliran tunai usahawan - MPN

Sebahagian peserta yang menyertai Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran MPN dan MASA di Putrajaya pada 13 Oktober 2022. - Gambar Facebook MASA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Memacu sektor perniagaan dengan meningkatkan akses kepada geran, pinjaman dan moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai dilihat sebagai aspek untuk pemulihan negara.

 

Perkara itu antara 11 resolusi yang dicadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) kepada kerajaan dalam usaha untuk memulihkan negara dengan segera menerusi Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial baru-baru ini.

 

Seminar menerusi kerjasama antara MPN dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) tersebut dilancarkan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob yang merumuskan resolusi itu turut menyarankan kepada kerajaan untuk memperkenalkan insentif bagi tujuan ketersediaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan produktiviti.

 

"Insentif itu juga boleh mengurangkan kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah, pekerjaan berkualiti tinggi dan menawarkan pendapatan tinggi," katanya. 

 

Beliau berkata, aspek pemulihan negara perlu dipacu menerusi pendekatan yang holistik dan inklusif bagi memperkukuhkan aspek keterangkuman sosial.

 

“Langkah ini penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030)," katanya.

 

 

MPN

 

 

Dalam pada itu, resolusi itu turut memberi penekanan terhadap aspek kuantiti dan kualiti pendidikan bagi mengatasi masalah keciciran, menambahbaik pengambilan nutrisi makanan dan mengatasi masalah mental dalam kalangan murid.

 

Selain itu, segera mengenalpasti pelaburan yang memfokuskan kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berteknologi dan produktiviti tinggi serta menawarkan pekerjaan dengan pendapatan tinggi kepada rakyat.

 

Resolusi tersebut turut menyarankan bagi meningkatkan kemahiran melalui insentif kepada majikan yang menghantar pekerja untuk peningkatan kemahiran, penumpuan kemahiran menjurus ke arah digitalisasi dan mahir dalam teknologi tinggi serta meningkatkan produktiviti serta peluang meningkatkan pendapatan.

 

 

MPN

 

 

Segera menyelesaikan isu-isu sosioekonomi negara khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui pendekatan berdasarkan situasi merangkumi hak golongan wanita, orang kurang upaya (OKU), golongan minoriti termasuk Orang Asal, antara resolusi bagi memulihkan negara.

 

Resolusi itu turut meliputi, menambah baik infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak. Antaranya mengurangkan kos pengangkutan tinggi, out-of-pocket payments, kekurangan staf kesihatan.

 

 

MPN
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya pada 13 Oktober 2022.

 

 

Selain itu, menumpukan kepada aspek perubahan struktur yang bersifat berpusat kepada 'decentralisation' termasuk dari segi pengagihan peruntukan yang lebih saksama untuk Sabah dan Sarawak.

 

Antara lain, menangani isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan serta kebergantungan terhadap import yang telah menghantui negara sejak sekian lama.

 

Ia termasuk meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dn matlamat ekonomi hijau dan mengenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan dengan merangka strategi yang berkesan (contohnya, instrumen wakaf, zakat dan infaq), tanpa mengikut atau mengadaptasi model luar negara yang sukar dipraktikkan di Malaysia. - DagangNews.com