Kerajaan disaran tubuh Jawatankuasa Kabinet tangani isu kenaikan harga barang - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kerajaan disaran tubuh Jawatankuasa Kabinet tangani isu kenaikan harga barang - Muhyiddin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Kerajaan disarankan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan kerana ia dilihat akan menjejaskan proses pumulihan negara.

 

Presiden Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengguna juga akan terbeban dengan kenaikan kadar inflasi selepas Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) tempatan meningkat sebanyak 12.3% pada September 2021 berbanding 9% pada bulan sebelumnya.

 

Beliau berkata, rakyat yang sebelum ini baru mula menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula kini mula terbeban dengan kenaikan harga barang terutamanya makanan yang sudah pasti akan menjejaskan kehidupan mereka.

 

"Saya berharap agensi penguatkuasa akan terus menggandakan usaha penguatkuasaan dalam memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah

 

"Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

Dalam usaha meringankan bebas rakyat pada waktu ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PN dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa itu di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat.

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diberikan penekanan khusus oleh MPN. 

 

Beliau berkata, MPN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan.

 

"Jawatankuasa ini yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan  datang.

 

"Selain itu, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini," katanya.-Dagangnews.com