Kerajaan giat laksanakan pelbagai inisiatif pulihkan industri pelancongan - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan giat laksanakan pelbagai inisiatif pulihkan industri pelancongan - PM

KUCHING 26 Feb - Bagi merancakkan kembali sektor ekonomi termasuk industri pelancongan yang sebelum ini terjejas dengan pandemik COVID-19, kerajaan giat melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu sektor-sektor terlibat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, antara usaha yang sedang dilakukan termasuk membenarkan pergerakan rentas sempadan melalui skim Vaccinated Travel Lane (VTL) udara, darat dan laut.

 

Beliau berkata, selain Singapura, dan Indonesia, Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL ini hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungannya ke Brunei baru-baru ini.

 

Langkah iitu ujar beliau, bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei.

 

''Saya juga baharu sahaja pulang daripada lawatan rasmi ke Thailand dan kerajaan bercadang untuk melaksanakan perkara sama dengan jiran kita itu,'' katanya semasa berucap pada majlis perasmian program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching, malam ini.

 

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah melaksanakan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) pada November 2021 yang membenarkan pelancong asing datang ke Malaysia melalui Pulau Langkawi.

 

Menurutnya, inisiatif ini merupakan ujian rintis atau ‘pilot test’ ke atas kesediaan dan kesiapsiagaan sektor pelancongan termasuklah penggiat industri dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan terhadap ‘norma baharu’.

 

''Walaupun baru 3 bulan, seramai 5,686 pelancong asing telah memanfaatkan LITB dan projek ini telah menjana pendapatan lebih RM28 juta kepada ekonomi Pulau
Langkawi.

 

''Sejak diperkenalkan, tiada sebarang kluster jangkitan yang berpunca daripada pelancong-pelancong LITB, hanya 1% sahaja didapati positif COVID-19 di bawah kategori 1 dan 2 ketika saringan dibuat di KLIA dan Langkawi.

 

''Maklum balas baik yang diterima daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan LITB, memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif LITB sehingga pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak,'' kata Ismail Sabri.


 

citrawarna


 

PM

 

Mengenai Citrawarna, Perdana Menteri berkata, festival mega ini telah diadakan setiap tahun sejak 1999 dan disenaraikan sebagai satu daripada acara berskala besar di
dalam kalendar pelancongan negara.

 

''Setelah empat tahun kita tidak dapat menganjurkannya, malam ini kita berpeluang meraikannya, namun dalam suasana pemantauan SOP yang ketat bagi mengekang
penularan COVID-19 dan mempercepatkan proses era endemik tidak lama lagi,'' katanya.

 

Sesuai dengan tema sambutan Citrawarna Keluarga Malaysia, ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ sekali lagi menampilkan kehebatan dan keunikan seni, budaya dan
warisan rakyat Malaysia.


''Pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna juga amat bersesuaian memandangkan Bandar Raya Kuching telah mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.

 

''Antaranya sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi dan ASEAN pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia (World Craft City) oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018,'' katanya.

 

Kejayaan menjadi Creative City of Gastronomy ini, Kuching dilihat mampu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di Sarawak,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com