Kerajaan kaji kesesuaian laksana semula GST | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kaji kesesuaian laksana semula GST

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan sedang mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau mana-mana model cukai kepenggunaan. 

 

Kajian itu juga mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasa ketika ini serta kelemahan GST yang dilaksanakan pada 2015. 

 

Kata Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah, kajian itu akan meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap. 

 

“Cukai baharu mesti bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara. 

 

“Berhubung cukai kekayaan (wealth tax), kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk melaksanakannya pada masa ini,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat. 

 

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan sama ada kerajaan akan melaksanakan semula cukai GST atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan negara.

 

Tambah Mohd. Shahar, pelaksanaan cukai baharu yang hanya meningkatkan hasil tetapi membebankan rakyat tidak akan memberi sebarang kesan. 

 

Beliau yakin negara kini berada pada landasan pemulihan betul berdasarkan asas-asas indikator yang ada pada hari ini. 

 

Baca : Kementerian Kewangan kaji kemungkinan pelaksanaan semula GST - Maybank IB

 

Baca : Penganalisis antarabangsa saran Malaysia laksana semula GST turunkan defisit

 

“Kita amat positif dan optimis bahawa peningkatan 5.5% ke 6.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berlaku pada 2021.

 

“Ini kerana kita telah menggunakan suntikan RM305 bilion melalui empat pakej rangsangan dan kalau kita lihat, KDNK menguncup 17.1% sebelum ini kepada -2.7%, berlaku penambaihbaikan dan ini semua impak daripada pelaksanaan pakej suntikan. 

 

“Pemulihan ekonomi ini akan berasaskan lulusnya Belanjawan 2021 sehingga peringkat jawatankuasa,” katanya. - DagangNews.com