Oleh Emir Mukmin
editor@dagangnews.com
ALOR SETAR 19 Ogos - Kerajaan Kedah menerima pelaburan berjumlah RM3.06 bilion dari tujuh syarikat tempatan yang sekaligus akan membuka kira-kira 1,700 peluang pekerjaan di negeri jelapang padi itu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kesemua pelaburan itu akan berpusat di Bandaraya Getah Kedah (KRC), Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Langkawi.
"Kita mengalu-alukan kedatangan pelabur yang berminat ke Kedah khususnya di kawasan-kawasan strategik seperti KRC, KHTP, dan Hab Logistik Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) yang menawarkan ruang, peluang serta kemudahan bertaraf dunia.
"Di pihak kerajaan negeri, kami memberi komitmen untuk memudahkan semua proses pelaburan dengan seluruh agensi kerajaan berkaitan. Segala kemudahan dan infrastruktur termasuk air, elektrik dan tenaga kerja sentiasa tersedia bagi memajukan sektor industri terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Komitmen Pelaburan Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Kesemua pelaburan tersebut adalah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Mengenai pelaburan antarabangsa ke KRC, Muhammad Sanusi berkata ketika ini kerajaan negeri bersama beberapa agensi sedang berusaha ke arah itu.
"Dalam keadaan sekarang, semua orang tahu bagaiamana kita berdepan cabaran di mana pelabur luar tidak dapat datang akibat ke sini ekoran COVID-19.
"Bagaimanapun suka saya nyatakan bahawa komitmen ke arah itu sudah ada. Insya Allah selepas pintu sempadan dibuka nanti, mereka akan hadir untuk melihat prospek yang ada," katanya.
Sementara itu, pelaburan terbesar yang diterima adalah dari Music Tribe Hi Tech Electronics Sdn. Bhd. berjumlah RM2.01 bilion dan bakal mewujudkan 374 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan peralatan muzik.
Jumlah itu diikuti Inspirasi Langkawi Sdn. Bhd. yang akan membangunkan sebuah hotel bertaraf empat bintang di Pantai Chenang, Langkawi sebanyak RM280 juta dengan pelaburan tersebut dijangka membuka 156 peluang pekerjaan.
Syarikat NextGlass Technologies Sdn. Bhd. pula membuat pelaburan sebanyak RM439 juta bagi sektor pembuatan peranti pintar dengan peluang pekerjaan sebanyak 219.
Lypometal Sdn. Bhd. pula yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gurun bakal mewujudkan 341 peluang pekerjaan dengan pelaburan berjumlah RM61 juta.
Sementara itu, Ekatuju Sdn. Bhd yang merupakan sebuah syarikat sektor logistik milik bumiputera dan beroperasi di KHTP melabur sebanyak RM2.8 juta dengan sembilan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Pada majlis itu, syarikat yang menjadi perintis pelaburan di KRC turut diperkenalkan iaitu Ivory Gloves dengan nilai pelaburan berjumlah RM218 juta melibatkan 267 peluang pekerjaan dalam sektor sarung tangan getah.
Sebuah lagi syarikat yang turut melabur di KRC adalah Getahindus (M) Sdn. Bhd. dengan pelaburan RM62 juta mengkhususkan kepada penghasilan conventional compounded rubber latices.- DagangNews.com