Kerajaan luluskan RM12.16 bilion subsidi upah 30 Oktober | DagangNews Skip to main content

Kerajaan luluskan RM12.16 bilion subsidi upah 30 Oktober

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kerajaan telah meluluskan sehingga RM12.16 bilion di bawah Program Subsidi Upah (PSU) setakat 30 Oktober 2020. 

Nilai itu telah memanfaatkan lebih 322,384 majikan dan 2.639 juta pekerja. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar atas) berkata, nilai itu meningkat daripada RM11.998 bilion yang diluluskan setakat 16 Oktober lalu. 

“Fasa seterusnya, PSU 2.0 yang telah bermula sejak 1 Oktober 2020, sebagai peringatan, majikan masih boleh memohon untuk PSU 2.0 di bawah pakej Kita Prihatin yang dibuka sehingga 31 Disember.

 

mof

 

“Saya juga ingin menekankan bahawa dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan RM1.5 bilion untuk melanjutkan PSU selama tiga bulan lagi bagi membantu 70,000 majikan dan 900,000 pekerja terutamanya sektor pelancongan dan peruncitan. 

“Pesan saya, selain membantu pekerja, PSU ini mengutamakan kemampuan usahawan. Bagi mengekalkan kapasiti perniagaan, kepada majikan yang terkesan, sahutlah bantuan kerajaan supaya anda mengekalkan kapasiti operasi dan memastikan syarikat anda kekal berdaya saing lebih-lebih lagi tatkala persekitaran perniagaan bertambah baik nanti,” katanya dalam perkongsian Laporan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) secara langsung menerusi akaun Facebook miliknya. 

Sementara itu, seramai 70,113 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan setakat 30 Oktober.

Jumlah itu merangkumi 56,315 orang di bawah umur 40 tahun, 8,743 individu berusia di antara 40 hingga 60 tahun, serta 331 orang kelainan upaya (OKU) dan 4,724 perantis. 

“Pengambilan pekerjaan lima sektor tertinggi bagi kesemua kategori adalah dalam sektor pembuatan iaitu 24%, perkhidmatan (20%), perdagangan borong dan runcit (15%), penginapan dan perkhidmatan makanan (11%) dan pembinaan (5%),” tambah Tengku Zafrul.  -  DagangNews.com