Kerajaan mahu wujudkan 500,000 peluang pekerjaan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mahu wujudkan 500,000 peluang pekerjaan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kerajaan komited mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini bagi menangani masalah pengangguran yang semakin meningkat. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, kerajaan juga menyedari bahawa kadar pengangguran pada Disember berada di tahap 4.8%, sama seperti direkodkan pada November 2020. 

 

"Bagaimanapun, yang lebih penting adalah usaha kerajaan di dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini, di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar. 

 

"Tambahan petugas kesihatan juga boleh dilihat sebagai salah satu inisiatif kerajaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam kategori pekerjaan yang kritikal," katanya dalam laporan Laksana ke-40 hari ini. 

 

Majlis Pekerjaan Negara yang bermesyuarat untuk kali kedua semalam melaporkan lebih daripada 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan tahun ini melalui pelaburan komited.

 

"Diharapkan dengan usaha bersama semua pihak yang terlibat, kadar pengangguran 4.8% yang dicatatkan pada
hujung Disember 2020 dapat kita kurangkan pada bulan-bulan akan mendatang," katanya. 

 

Ini dapat dicapai terutama dengan adanya usaha-usaha berterusan kerajaan ke arah ini seperti portal
MyFutureJobs (https://www.myfuturejobs.gov.my/) dan platform e-LATiH (https://latih.hrdf.com.my/) Kementerian Sumber Manusia.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini melaporkan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.8% atau 772,900 penganggur pada Disember 2020.

 

Bagi tahun penuh 2020 pula, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5%, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak 1993 pada 4.1%.

 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM12.76 bilion telah disalurkan di bawah Program Subsidi Upah 1.0 menerusi Penjana setakat 29 Januari lalu. 

 

"Program ini telah memberi manfaat kepada 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang didaftarkan," katanya.

 

Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, seramai 130,828 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan berbanding 129,901 pekerja pada minggu sebelumnya.

 

Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit. 

 

Di bawah inisiatif Kita Prihatin, beliau memberitahu, sebanyak RM741.16 juta telah disalurkan di bawah PSU 2.0 kepada 64,345 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 518,793 pekerja. - DagangNews.com