Kerajaan mansuh hukuman mati mandatori, ganti dengan hukuman lain | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mansuh hukuman mati mandatori, ganti dengan hukuman lain

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan akan menggantikannya dengan hukuman lain yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan mengumumkan perkara itu selepas keputusan mengenainya dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu. 

 

Beliau berkata, kerajaan juga secara prinsip menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut. 

 

Katanya, jawatankuasa tersebut diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjun dan dianggotai pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya; bekas Peguam Cara Negara; pengamal undang-undang; pensyarah undang-undang dan pakar kajian jenayah. 

 

"Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori; satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah. 

 

"Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara; Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain kementerian atau jabatan berkepentingan," katanya.

 

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, langkah yang diambil itu adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira perkadaran dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti. 

 

Katanya, kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini seperti kewujudan prosedur pra penghukuman; penubuhan Majlis Penghukuman; pembangunan Garis Panduan Penghukuman; penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang; pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan pemulihan keadilan.

 

"Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambahbaik sistem jenayah negara yang serba dinamik," katanya. - DagangNews.com