Kerajaan negeri diminta sediakan tanah TOL untuk tanaman jagung - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan negeri diminta sediakan tanah TOL untuk tanaman jagung - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerajaan negeri diminta untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk penanaman jagung bagi jangka panjang.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman makanan alternatif kepada makanan ayam.

 

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta membentangkan pelan-pelan terbabit dalam masa terdekat, bagi projek penanaman jagung dan sebagainya.

 

"Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, pertubuhan peladang, dan koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan meysuarat Kabinet, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Kabinet juga memutuskan untuk memansuhkan pula permit import (AP) melibatkan gandum.

 

Pada masa sama, beliau meminta semua kementerian menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia.

 

pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

“Susulan daripada pengumuman sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan, Kabinet hari ini juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

 

“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan,” katanya. - DagangNews.com