IPOH 16 Julai - Inisiatif untuk membantu usahawan kecil di Perak terus digiatkan apabila kerajaan negeri meluluskan bantuan bernilai RM1.3 juta melibatkan 728 orang penerima.
Bantuan Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) 2024 ini diberikan kepada pemohon yang mengusahakan pelbagai bentuk perniagaan.
Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razali, sebanyak 2,127 permohonan geran tersebut diterima sebelum saringan kelayakan dibuat.
Menurut beliau, tapisan ini berdasarkan syarat, dokumen lengkap dan dalam tempoh masa penghantaran permohonan.
“Usahawan yang memohon geran terdiri daripada pelbagai industri perniagaan seperti perkhidmatan, pembuatan dan lain-lain.
“Jumlah maksimum geran adalah RM2,000. Kelulusan adalah berdasarkan sebut harga yang diberikan dan barangan yang mohon jika menepati syarat.
“STeP akan membuat pemantauan daripada segi pendapatan, produktiviti dan kebolehkesanan geran setiap bulan selama enam bulan setelah pemohon menerima barangan atau mesin yang dimohon,” ujarnya.
Kata Mohamad Rozlan, usahawan atau pemohon boleh menyemak status permohonan masing-masing menerusi portal Sistem Maklumat Usahawan Negeri Perak (Perak SME D Base).
Pemohon yang berjaya juga perlu menekan setuju dengan syarat ditetapkan di dalam portal Perak SME D Base sebelum proses pembayaran boleh dimulakan.
Ini kerana tidak semua peralatan yang dikemukakan oleh pemohon diluluskan secara keseluruhan.
“Semakan perlu dibuat bagi memastikan peralatan yang lulus sahaja sekiranya perlu.
“Bagi pemohon yang lulus, pembayaran kepada pembekal yang diluluskan akan mengambil tempoh masa sebulan dan mereka semua boleh mengambil barangan terbabit dari pembekal.
“Sekiranya tiada respons dalam tempoh 2 minggu selepas tarikh kelulusan geran ini, mereka akan dianggap tidak berminat menerima permohonan dan kelulusan ini akan dibatalkan secara automatik,” ujar beliau.
Bagi yang tidak berjaya untuk permohonan tahun ini, mereka boleh membuat permohonan tahun hadapan sekiranya program geran GeRAK ini diteruskan. - DagangNews.com