Kerajaan Perancis beri komitmen pastikan projek kapal tempur LCS siap | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Perancis beri komitmen pastikan projek kapal tempur LCS siap

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 Sept - Kerajaan Perancis memberi komitmen untuk memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) menjadi keutamaan kepada semua pihak berkepentingan, kata Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkata, komitmen itu disampaikan oleh kerajaan Perancis melalui surat kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

 

“Naval Group, syarikat induk kerajaan Perancis, adalah sebuah syarikat yang mereka bentuk kapal LCS dan merupakan syarikat induk kepada 43 syarikat Eropah yang terlibat dalam projek ini.

 

"Rundingan semula dengan syarikat-syarikat ini adalah proses rumit yang memerlukan hubungan kerajaan-ke-kerajaan (G2G)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata kenyataan sokongan oleh kerajaan Perancis menunjukkan komitmen bahawa semua pihak berkepentingan kini bekerjasama untuk memastikan LCS siap.

 

 

Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman
                       Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman

 

 

Ahmad Nazim menambah bahawa lembaga pengarah Boustead Naval Shipyard (BNS) juga telah memutuskan untuk membatalkan surat pemberian kontrak projek kepada Contraves Advance Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), bernilai RM3.4 bilion.

 

“Kedua-dua syarikat adalah 'orang tengah' yang kini disiasat atas pelbagai dakwaan rasuah dan pelanggaran undang-undang.

 

“Keputusan ini akan membolehkan BNS berunding terus dengan syarikat pengeluaran dan pada masa yang sama, mengurangkan kos pembinaan keseluruhan,” katanya.

 

Tambahnya, keputusan itu juga merupakan salah satu komitmen BNS, sebagai kontraktor utama projek, untuk memastikan projek LCS diteruskan tanpa melibatkan tindakan korporat yang meragukan.

 

“Sebagai salah seorang pemegang saham BNS, LTAT akan terus mengambil langkah konkrit untuk memastikan pelaksanaan projek ini melalui proses yang telus,” katanya sambil menambah tumpuan kini adalah untuk menggerakkan proses bagi memastikan kapal-kapal itu dapat disiapkan dalam tempoh jangka masa baharu. - DagangNews.com