Kerajaan perpaduan perlu buktikan keupayaan mampu bekerjasama, subsidi dan reformasi fiskal jadi ujian terbesar - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perpaduan perlu buktikan keupayaan mampu bekerjasama, subsidi dan reformasi fiskal jadi ujian terbesar - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Dis - Pelabur akan terus berhati-hati memasuki tahun 2023 terutama dengan pelbagai faktor luaran dan dalaman yang akan mempengaruhi sentimen pasaran tempatan.

 

Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia berkata, walaupun risiko politik negara agak berkurangan selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-15 (PRU15), pelabur masih menunggu pembentukan Kabinet baharu dan pembentangan semula Bajet 2023.

 

Dalam hal ini, katanya, kerajaan perpaduan yang baru dibentuk perlu membuktikan keupayaan mereka untuk saling bekerjasama.

 

"Kami berpendapat subsidi dan reformasi fiskal akan menjadi ujian terbesar kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

"Namun, kehadiran blok Borneo dalam pentadbiran baharu akan memberi kesan positif kepada program infrastruktur di Sabah dan Sarawak," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Mengenai prospek pada tahun hadapan, menurutnya, pelabur sudah mula menetapkan harga dengan jangkaan bahawa kadar pengetatan monetari hampir memuncak dan pendirian sifar COVID-19 di China semakin tidak mampan. 

 

Ini kerana pendekatan yang lebih pragmatik oleh China untuk membendung pendemik itu akan memberi tambahan kepada sentimen pelabur.

 

"Pelabur masih mendekati 2023 dengan berhati-hati tetapi mula aktif mencari peluang untuk membina kedudukan untuk jangka sederhana dan membeli pada kelemahan. 

 

"Satu lagi lonjakan dalam pasaran sepatutnya mengundang beberapa pengambilan untung jangka pendek tetapi pelabur harus menumpukan semula pada asas dengan keutamaan untuk saham bermodal besar," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, Chia mengunjurkan anggaran hasil bagi komponen utama FBM KLCI untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dinaikkan sebanyak 0.5% manakala FY23 pula menyaksikan pengurangan 1%.

 

Ia berikutan enam saham dalam komponen utama melaporkan melaporkan prestasi kewangan suku ketiga yang mengatasi jangkaan manakala sembilan tersasar daripada jangkaan, sedikit teruk berbanding suku sebelumnya.

 
"Bagi FY23, kami menaikkan jangkaan bagi sektor berkaitan perladangan, minyak & gas (O&G) dan telekomunikasi tetapi diimbangi dengan pengurangan bagi sektor perbankan, sarung tangan getah dan automotif," katanya. - DagangNews.com