Kerajaan Persekutuan lulus RM5.93 bilion bagi 40 projek PETRA menerusi RMK-12 di Pahang | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Persekutuan lulus RM5.93 bilion bagi 40 projek PETRA menerusi RMK-12 di Pahang

Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) menyerahkan beberapa projek yang siap oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). - Gambar/FB Fuziah Salleh

KUANTAN 10 Sept - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM5.93 bilion bagi pelaksanaan 40 projek Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata daripada 40 projek itu, 28 projek sambungan dan 12 projek baharu dalam Rolling Plan 4 bagi tahun ini.

 

Katanya, kelulusan merangkumi projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai, pemuliharaan pantai, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.

 

"Pelaksanaan projek itu diharap membantu mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir serta hakisan pantai.

 

"Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin bagi memastikan kemampanan pelaksanaan projek untuk memaksimumkan impak demi kesejahteraan rakyat serta merangsang ekonomi Pahang," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tiga projek siap dilaksanakan PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berjumlah RM155.484 juta kepada Kerajaan Pahang di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim.

 

Mengulas peruntukan tiga projek itu, beliau berkata, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan, Pahang pakej 1, projek menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir berjumlah RM108.96 juta.

 

Katanya, kos Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam-Sungai Ringlet, Cameron Highlands bernilai RM44.94 juta dan RM1.57 juta lagi bagi kerja mencegah hakisan di Pantai Sepat, Kuantan.

 

"Dengan terlaksana Projek Tebatan Banjir di Kuantan dan Cameron Highlands, risiko kejadian banjir dan banjir lumpur di dua kawasan itu dapat dikurangkan, sekali gus memberi keselesaan dan perlindungan kepada hampir 37,980 penduduk setempat serta aktiviti ekonomi dan sosial penduduk tidak lagi terjejas.

 

"Bagi projek pemuliharaan Pantai Sepat, ia membabitkan lokasi sepanjang 1.2 kilometer kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan dan penduduk di sekitar kawasan pantai dapat dilindungi risiko hakisan pantai.

 

"Seterusnya projek ini akan dapat membantu mengaktifkan semula aktiviti pelancongan yang membantu pertumbuhan ekonomi setempat," katanya.- DagangNews.com