Kerajaan pertimbang imbuhan, sambutan keraian untuk skuad Harimau Malaya - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pertimbang imbuhan, sambutan keraian untuk skuad Harimau Malaya - PM

Skuad Harimau Malaya meraikan kemenangan menumpaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus mengesahkan slot ke Piala Asia. - Gambar Facebook Football Association of Malaysia

BANGI 16 Jun - Kerajaan akan mempertimbang pemberian imbuhan dan penganjuran sambutan keraian sempena kejayaan skuad Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.

 

"Insya-Allah saya akan bincangkan perkara tersebut dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta akan turut berbincang bersama FAM.

 

"Ia mengenai keraian atau apa-apa sumbangan yang akan diberikan, kita akan berbincang mengenainya," katanya kepada pemberita selepas hadir dalam persidangan Parlimen Belia Malaysia Tahun 2022 di sini semalam.

 

Ismail Sabri juga berharap skuad Harimau Malaya mampu mencatat keputusan terbaik dalam aksi Piala Asia 2023.

 

"Ini cuma ujian pertama yang kita lepasi, ujian lebih besar adalah pada Piala Asia nanti untuk dapatlan tempat (keputusan) terbaik dalam pertandingan.

 

“Diharapkan semangat juang ini dapat diteruskan untuk mengembalikan nama Malaysia di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat Asia," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut bersama penyokong skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Gambar Facebook Ismail Sabri Yaakob

 

 

Kelmarin, skuad bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, menumbangkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

 

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan, menurut Bernama.

 

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia ialah pada edisi 1980 di Kuwait dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia pada 2007 namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah. - DagangNews.com