KUALA LUMPUR 18 Julai - Komitmen kerajaan dalam membantu rakyat Keluarga Malaysia untuk menangani kenaikan kos sara hidup, dibuktikan dengan meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur.
Beliau berkata, tindakan kerajaan untuk memberi subsidi ayam menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat kerana inilah pertama kali subsidi ayam diberikan bagi memastikan bekalan ayam pulih.
"Sekarang kita melihat hasilnya yang mana harga telah mula stabil. Melalui cerapan data harga mingguan kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung Malaysia.
"Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan negeri Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95. Hasilnya, kini pengguna telah mula mendapat manfaat manakala penternak dan peniaga ayam juga berpuas hati kerana mereka sudah boleh berniaga seperti biasa," katanya di sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat kerana mendakwa kerajaan mengambil pendekatan konvensional dan tidak ada persediaan untuk melakukan perubahan struktur.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga dijangka membelanjakan subsidi minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) dengan peruntukan sehingga RM4 bilion pada tahun ini.
Beliau berkata, jumlah itu naik secara mendadak berbanding keperluan pada tahun 2020 iaitu RM500 juta dan 2021 sebanyak RM2.1bilion.
"Berkenaan subsidi minyak botol yang dihentikan, sebenarnya, subsidi ini diberikan bermula pada Ogos 2021 bertujuan untuk mengurangkan bebanan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada perancangan kerajaan, subsidi ini hanya sehingga Disember 2021 kerana kita telah berjanji untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara berperingkat dalam Pelan Pemulihan Negara.
"Namun, kerajaan amat prihatin dengan perkembangan trend minyak sawit mentah atau CPO yang naik secara konsisten disebabkan permintaan dunia yang telah mula membuka aktiviti ekonomi. Atas sebab ini, kerajaan telah melanjutkan pelaksanaannya sehingga Jun 2022 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM382 juta bagi melaksanakan program subsidi minyak botol ini," katanya.
Katanya, isu kerajaan tidak membantu rakyat tidak seharusnya timbul kerana subsidi minyak masak polibeg 1 kg masih lagi diberikan malahan telah ditambah seperti yang saya sebutkan tadi.
Beliau berkata, kerajaan juga telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
"Program ini mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga daripada semua Ahli Parlimen dan pihak Kerajaan Negeri. Justeru, Kerajaan sedang memperinci pelaksanaan PJKM untuk diperhebat dan diperluaskan kepada lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri.
"Jualan PJKM melibatkan penurunan sehingga 15% namun ada kalanya penurunan tersebut lebih daripada itu," katanya.
Selain daripada itu katanya, bagi terus membantu rakyat Keluarga Malaysia, kerajaan juga telah menambah nilai Bantuan Keluarga Malaysia kepada lebih kurang 9 juta penerima sebanyak RM100 bagi isi rumah serta RM50 bagi individu bujang.
"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat pelbagai lagi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat Keluarga Malaysia.
"Meskipun kita tidak dapat menghalang kenaikan harga barangan sepenuhnya kerana ia adalah disebabkan faktor inflasi global, namun, impaknya dapat dikurangkan dengan pelaksanaan strategi-strategi yang telah dirangka oleh kerajaan," katanya. - DagangNews.com