Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kerajaan tidak menggunakan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membiayai perbelanjaan COVID-19 termasuk pemberian pakej rangsangan ekonomi.
Sebaliknya, pakej rangsangan itu dibiayai menerusi pinjaman domestik oleh kerajaan terutamanya daripada pasaran kewangan tempatan.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd. Rahim Bakri di Dewan Rakyat hari ini.
“Rizab antarabangsa digunakan untuk maksud-maksud tertentu dan bukan untuk membiayai bajet atau pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik COVID-19, pakej rangsangan ekonomi adalah dibiayai terutamanya pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan.
“Bagi maksud yang lain, penting apabila kita berhadapan pandemik, mengambil kira langkah tertentu untuk memastikan ada penjanaan ekonomi.
“Maka, kerajaan dapat mengutip hasil yang lebih banyak dan pada ketika ini, kita guna kaedah pinjaman untuk membiayai segala perbelanjaan kerajaan khususnya berkaitan penjanaan ekonomi,” katanya yang menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis).
Hok Liong meminta Kementerian Kewangan untuk menyatakan sekiranya kerajaan telah menggunakan simpanan negara untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik COVID-19 ini termasuk jumlah rizab antarabangsa negara setakat bulan September 2020.
Menurut Abd. Rahim, rizab negara adalah merujuk istilah sama rizab antarabangsa BNM yang terdiri daripada rizab mata wang asing, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), hak-hak pengeluaran asas (SDR) emas dan aset rizab lain.
Jelasnya, aset-aset bank pusat dalam bentuk mata wang asing itu dipegang dalam pelbagai mata wang terutama Dolar Amerika Syarikat (AS), Euro dan Yen serta beberapa mata wang asing lain.
“Ia digunakan untuk menjamin liabiliti iaitu pengeluaran mata wang tempatan, deposit rizab, bank-bank lain dan bank pusat oleh kerajaan atau institusi kewangan asing,” tambah Abd. Rahim.
Setakat 30 September 2020, nilai rizab antarabangsa Malaysia adalah berjumlah RM436.5 bilion atau AS$105 bilion, mencukupi untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Rizab negara telah menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.4 bilion, berbanding akhir tahun 2019, AS$103.6 bilion, kata beliau. - DagangNews.com