PUTRAJAYA 22 Feb - Kerajaan sedang dalam proses semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pada masa ini, kadar gaji minimum di Malaysia adalah sebanyak RM1,200 sebulan di kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran.
Manakala, bagi kawasan lain kadar gaji minimum adalah sebanyak RM1,100 yang telah berkuatkuasa sejak tahun 2020.
Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan oleh Kerajaan, terdapat majikan yang telah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500.
''Sehubungan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Aeon Co. (M) Bhd dan Westports Holdings yang telah menawarkan gaji pada kadar RM1,500 kepada para pekerja mereka,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua majikan ini telah menunjukkan contoh yang baik di mana mereka prihatin dengan permasalahan pekerja walaupun dengan keadaan ekonomi yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.
''Saya juga ingin menyeru kepada majikan lain agar mengambil contoh pendekatan syarikat Aeon dan Westports, dan berusaha menawarkan gaji pekerja pada kadar yang melebihi gaji minimum sedia ada,'' ujar beliau. - DagangNews.com