KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kerajaan ketika ini berhubung rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Ini termasuklah isu sensitif yang melibatkan kepentingan peserta domestik dan industri.
Malah, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar) berkata, tiada jangka masa yang khusus untuk meratifikasikan perjanjian berkenaan.
"Tiada jangka masa ditetapkan. Kementerian saya akan terus dengan berhubung,” katanya selepas ‘Invest Malaysia 2020 - Virtual Series 3’ hari ini.
Tambah Azmin, kerajaan lebih menumpukan ke arah usaha memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang November ini.
"Pada beberapa bulan lalu, kami terlalu sibuk dengan RCEP, tetapi kini kita dalam peringkat akhir memuktamadkan perjanjian RCEP," tambah Mohamed Azmin.
CPTPP yang pada awalnya merupakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) melibatkan 12 buah negara.
Bagaimanapun, setelah Amerika Syarikat (AS) bertindak menarik diri pada 23 Januari 2017, TPPA tidak boleh dilaksanakan dan diganti dengan CPTTP yang melibatkan 11 buah negara.
Negara-negara berkenaan termasuklah Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Tambah Mohamed Azmin, Malaysia masih lagi menilai perjanjian itu dan keputusan untuk meratifikasi akan dibuat oleh Perdana Menteri dan Kabinet. - DagangNews.com