Kerajaan salur RM92.9 juta dalam bentuk geran, pinjaman langganan perkhidmatan digitalisasi kepada 13,892 perniagaan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan salur RM92.9 juta dalam bentuk geran, pinjaman langganan perkhidmatan digitalisasi kepada 13,892 perniagaan

KUALA LUMPUR 22 April - Kerajaan berjaya menyalurkan sejumlah RM92.9 juta kepada 13,892 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 15 April 2022. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan sebanyak RM700 juta adalah bertujuan menggalak perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan. 

 

Beliau berkata, setakat tempoh yang sama juga, melalui peruntukan RM600 juta bagi PKS and PKS Mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID19, terdapat 753 permohonan bagi pembiayaan sektor pelancongan Penjana dan daripada jumlah ini sebanyak 393 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM79.1 juta.

 

Bagi Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80% bagi tujuan modal kerja, kerajaan telah menerima sebanyak 92 permohonan daripada syarikat.

 

"Setakat 8 April, 2022, jumlah jaminan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM2.070 bilion bagi 61 buah syarikat," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-93 yang dikeluarkan hari ini, lapor Bernama.

 

Menyentuh mengenai Program Subsidi Upah (PSU) pula, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.68 bilion kepada 357,703 majikan bagi mengekalkan penggajian 2,956,121 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

 

Katanya, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya menempatkan 51,037 pekerja setakat 31 Mac, 2022, melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion bagi tahun 2022.  

 

Selain itu, kerajaan turut menyediakan bantuan padanan caruman sebanyak 80% di bawah Pelan 2 (RM232.80) dengan hanya 20% (RM46.60) sahaja perlu dibayar oleh kumpulan sasaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang telah dikhususkan kepada lapan kategori.

 

Kategori tersebut ialah SPS Asal, Gig, Jaja, Lain Upaya, Lancong, Seni, Tani dan Usahawanita.

 

"Setakat 17 April, 2022, sebanyak 36,610 OBS telah pun mencarum dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM8.523 juta," jelasnya.

 

Dari segi skim perlindungan sosial khidmat pula, beliau berkata sebanyak 21,964 OBS telah mencarum di bawah Pelan Caruman 2 dan 4 dengan tempoh perlindungan selama 12 bulan dengan nilai kutipan sebanyak RM5.696 juta, setakat 17 April 2022.

 

Sementara itu, dalam laporan tersebut, Tengku Zafrul turut menggalakkan orang ramai melakukan transaksi tanpa tunai di kaunter perkhidmatan kerajaan selari dengan kempen Cashless 2.0 yang berjalan sehingga 31 Mei, 2022. - DagangNews.com