Kerajaan sasar bina 500,000 rumah berkualiti sepanjang RMK-12 - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sasar bina 500,000 rumah berkualiti sepanjang RMK-12 - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri serta pihak pemaju perumahan swasta menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah yang berkualiti sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam usaha merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Persekutuan akan memberikan subsidi manakala kerajaan negeri akan menyediakan tanah dan institusi kewangan membantu memudahkan pembiayaan bagi membolehkan Keluarga Malaysia memiliki rumah dengan harga berpatutan.

 

"Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meyiapkan 4,348 buah Rumah Mampu Milik (RMM) tahun lepas dan menyasarkan pembinaan 1,563 buah rumah di Johor sahaja untuk tahun ini," katanya ketika merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Dataran Angsana, Johor Bahru hari ini.

 

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga komited meningkatkan kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar dengan melaksanakan inisiatif penyediaan 5G runcit bagi memudahkan akses yang lebih pantas dan berkualiti.

 

Beliau berkata, pendekatan itu akan meningkatkan kualiti perkhidmatan internet dalam bangunan bagi membantu komunikasi secara dalam talian.

 

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan internet, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mengambil inisiatif  memantau kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara dalam tempoh enam bulan dan projek rintis ini akan dimulakan di Johor melibatkan 3,000 lokasi.

 

pm

 

BACA JUGA: Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia tawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung

 

BACA JUGA: Program Jualan Keluarga Malaysia bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dapat sambutan menggalakkan

 

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pengangkutan, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) yang dijangka memberi manfaat kepada 6.4 juta penumpang setahun. 

 

Menerusi program SBST, Kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS dan sebanyak 128 myBAS kini dilaksanakan di Johor mulai bulan ini melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian dengan jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer. 

 

pm

 

"Bagi kenderaan persendirian pula, kerajaan menawarkan subsidi rebat 50% atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk golongan B40.

 

"Kementerian Pengangkutan juga telah melancarkan inisiatif  Pembangunan dan Pelancaran Garis Panduan Pengujian Kenderaan Berautonomi (AV) di Medini, Iskandar Malaysia bagi meningkatkan penciptaan dan penerima gunaan teknologi Revolusi Perindustrian Ke-Empat (4IR) yang berkaitan 
pengangkutan dan logistik," katanya. - DagangNews.com