Kerajaan setuju tidak teruskan cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu, bimbang jejas ekosistem - Nik Nazmi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan setuju tidak teruskan cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu, bimbang jejas ekosistem - Nik Nazmi

Kerajaan tidak akan meneruskan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu dalam usaha memelihara alam sekitar dan taman laut yang sedia ada di pulau itu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan cadangan pembagunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman yang baharu kerana pembinaannya dikhuatiri menjejaskan ekosistem yang terdapat di pulau itu.

 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu melibatkan 76% kawasan tambakan laut. 

 

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang baharu yang melibatkan tambakan di Pulau Tioman ini adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum.

 

Katanya, ia secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar.

 

"Kementerian mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman.

 

"Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.

 

"Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baharu tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati bahawa cadangan pembinaan lapangan terbang baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan.

 

Terdahulu media melaporkan bahawa pembangunan lapangan terbang itu di Pulau Tioman berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu malah laporan EIA mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu akan terancam. - DagangNews.com