Kerajaan suntik dana ‘tidak langsung’ untuk perbelanjaan modal Malaysia Airports? | DagangNews Skip to main content

Kerajaan suntik dana ‘tidak langsung’ untuk perbelanjaan modal Malaysia Airports?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kerajaan mungkin menghulurkan bantuan dana kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membiayai perbelanjaan modalnya pada masa hadapan.

Suntikan dana itu dilakukan secara tidak langsung menerusi pelbagai pengubahsuaian terma dan syarat Perjanjian Operasi (OA) yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini. 

“Ini termasuk perbelanjaan gantian sistem pengendalian bagasi dan aerotrain di bangunan terminal utama Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

“Ini juga faktor yang meningkatkan ramalan harga sasaran saham MAHB,” jelas analisis CGS-CIMB Research. 

CGS-CIMB menyarankan untuk ‘pegang’ saham MAHB daripada ‘kurangkan’ dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM5.80.

Sementara itu, MAHB sedang berunding dengan pihak bank bagi anak syarikatnya, lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokchen (ISG) di Turki untuk menangguhkan pembayaran hutang.

ISG juga dalam rundingan dengan kerajaan Turki bagi penangguhan pembayaran yuran penggunaan yang sepatutnya diselesaikan pada Januari 2021.

“ISG perlu berjaya dalam salah satu usaha berkenaan untuk terus bertahan bagi enam bulan akan datang. MAHB sebaliknya lebih kukuh dengan suntikan kewangan oleh kemudahan baharu bank dan konsesi kredit cukai sebanyak RM140 juta oleh kerajaan,” tambah CGS-CIMB.

Hari ini (28 Ogos 2020), MAHB akan membayar terbitan sukuk sebanyak RM1 bilion daripada rizab tunai dalaman. 

MAHB juga akan memperoleh pembiayaan jangka pendek sebanyak RM1.7 bilion dari lima buah bank dan setakat ini berjaya meraih RM1.4 bilion dari empat bank.

Syarikat penerbangan itu juga dijangka menerbitkan sukuk bernilai RM1.5 bilion jika perlu.

“Kesemua faktor ini menunjukkan MAHB mempunyai aset yang cukup di Malaysia,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com