Kerajaan tambah RM166 juta Sukuk Prihatin selepas langganan melebihi sasaran | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tambah RM166 juta Sukuk Prihatin selepas langganan melebihi sasaran

 Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Sukuk Prihatin, sebuah inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah meraih jumlah langganan lebih RM666 juta, melepasi sasaran penerbitan asal berjumlah RM500 juta

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan sebanyak RM166 juta.

“Sukuk ini telah dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Maybank merupakan bank pengedar utama bagi Sukuk ini. 

“Langganan dalam talian ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

tengku zafrul
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

“Lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sukuk itu diterbitkan oleh kerajaan dengan tujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang ke arah usaha membina semula negara pasca pandemik COVID-19. 

Tempoh langganan dibuka pada 18 Ogos dan telah ditutup pada 17 September yang lalu. 

Dana terbitan Sukuk Prihatin itu akan disalurkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi, seperti menambahbaik kesalinghubungan di sekolah-sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

Setelah tempoh langganan ditutup pada 17 September lalu, Sukuk Prihatin akan diterbitkan pada 22 September 2020 dengan tempoh matang dua tahun

 Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2% setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan

“Kerajaan percaya, semangat ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih teguh.

“Pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 September 2022,” tambah Tengku Zafrul. - DagangNews.com